Khamis, 21 Disember 2017 | 10:56pm
PEMANGKU Komisioner Shane Patton. - Foto EPA
PEMANGKU Komisioner Shane Patton. - Foto EPA

Polis Australia nafi serangan pengganas

MELBOURNE: Polis menolak sebarang andaian bahawa sebuah kereta yang sengaja melanggar kira-kira 19 pejalan kaki di sini, hari ini sebagai satu perbuatan pengganas.

Pemangku Komisioner Shane Patton, berkata pemandu kereta berkenaan iaitu warga Australia keturunan Afghanistan disahkan mengalami gangguan mental.

Difahamkan, pihak polis sudah menahan dua lelaki, setakat ini tetapi kedua-dua suspek berkenaan masih belum didakwa.

"Buat masa ini, tiada sebarang bukti atau hasil risikan yang boleh mengaitkan kejadian berkenaan dengan perbuatan pengganas," katanya sambil menambah, empat daripada 19 mangsa berkenaan kini berada dalam keadaan kritikal.

Seorang pemilik kedai donat, Jim Stoupas berkata, kenderaan itu bergerak pada kelajuan 100 kilometer sejam manakala persimpangan jalan itu pula padat dengan pengunjung yang sedang membeli belah untuk menyambut Krismas.

"Pemandu itu terus melanggar dan apa yang menyebabkan dia berhenti pada pendapat saya ialah jumlah pejalan kaki yang sudah dilanggar.

"Dia berada di papan tanda kereta api dan apa yang anda dengar cuma bunyi 'bang bang bang' dan jeritan orang ramai," katanya. - Reuters

Berita Harian X