Isnin, 4 Disember 2017 | 9:50am
 GAMBAR fail. Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani. - Foto AFP
GAMBAR fail. Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani. - Foto AFP

Emir Qatar hadir Sidang Kemuncak GCC

DOHA: Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mulai esok, di sebalik krisis politik yang melanda rantau berkenaan sejak enam bulan lalu.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, berkata jemputan menghadiri sidang kemuncak itu diterima akhir bulan lalu dari Kuwait.

"Saya akan menghadiri mesyuarat peringkat menteri hari ini, manakala Emir (Qatar) akan hadir sidang kemuncak esok," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai agenda sidang kemuncak itu, tetapi menjangkakan ia akan turut membincangkan krisis semasa yang melanda rantau itu.

"Amat penting untuk kita memastikan sistem GCC terus dikekalkan," katanya.

Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir menamatkan segala hubungan dengan Qatar, atas tuduhan negara itu menyokong pengganas serta kumpulan Syiah di Iran.

Bagaimanapun, Doha menolak segala dakwaan berkenaan. - AFP

Berita Harian X