Jumaat, 10 November 2017 | 9:48am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pembunuh koala sedang diburu

SYDNEY: Seekor beruang koala ditemui mati dengan kedua-dua telinganya dipotong, insiden penderaan haiwan terbaru di negara itu yang disifatkan pihak polis sebagai menjijikkan dan sangat kejam.

Seorang pekerja bantuan kecemasan menemui bangkai haiwan malang itu di sebatang jalan di Warrnambool, kira-kira 225 kilometer dari Melbourne, Isnin lalu.

Tidak dapat dipastikan sama ada haiwan itu masih hidup atau sudah mati ketika telinganya dipotong.

Pegawai polis Warrnambool, Sarjan Pat Day, berkata pihak berkuasa sedang mencari dalang perlakuan kejam itu dan siasatan masih berjalan.

"Kami akan pastikan kes ini diselesaikan segera. Tiada sebab untuk sesiapa berlaku kejam atas haiwan sehingga ke tahap ini, sama ada haiwan itu masih hidup atau sudah mati," katanya.

Polis Victoria dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu adalah yang terbaru selepas siri kekejaman terhadap kangaru dan walabi di sekitar kawasan berkenaan.

Pada Jun lalu, seekor kangaru dengan pakaian bercorak cetakan harimau bintang ditemui mati ditembak ketika diikat di atas sebuah kerusi sambil memegang sebotol minuman beralkohol. - AFP

Berita Harian X