Isnin, 30 Oktober 2017 | 11:44pm
Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Issa Al-Khalifa.
Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Issa Al-Khalifa.

Bahrain tuntut GCC bekukan keanggotaan Qatar

DUBAI: Bahrain, hari ini menggesa keanggotaan Qatar dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) digantung sehingga ia menerima tuntutan negara jirannya dan berkata, Manama tidak akan menghadiri pertemuan badan itu bersama-sama Doha.

"Langkah tepat untuk mengekalkan GCC adalah dengan membekukan keanggotaan Qatar sehingga ia melihat alasan dan menerima tuntutan negara kami.

"Jika tidak, kami sedia meninggalkan GCC," kata Menteri Luarnya, Khalid bin Ahmed al-Khalifa menerusi Twitter.

Bahrain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir, pada 5 Jun lalu memutuskan hubungan dengan Qatar berhubung tuduhan menyokong keganasan dan terlalu rapat dengan Iran yang berfahaman Syiah. Doha menyangkal tuduhan itu.

Diasaskan pada 1981, GCC adalah kesatuan politik dan ekonomi yang dianggotai Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar, selain Oman dan Kuwait.

Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Issa Al-Khalifa, lewat hari ini mengumumkan negaranya tidak akan menghadiri pertemuan GCC jika Qatar menyertainya.

"Qatar sudah membuktikan hari ini ia tidak menghormati piagam, perjanjian dan ikatan yang menyebabkan GCC diasaskan," katanya ketika mesyuarat Kabinet, yang dipetik agensi berita BNA. - AFP

Berita Harian X