Sabtu, 9 September 2017 | 12:25am
DELFIN Lorenzana (kiri) berjabat tangan dengan Marise Payne ketika pertemuan di pangkalan bandar Taguig, selatan Manila. - Foto EPA
DELFIN Lorenzana (kiri) berjabat tangan dengan Marise Payne ketika pertemuan di pangkalan bandar Taguig, selatan Manila. - Foto EPA

Filipina terima bantuan Australia latih tentera

MANILA: Kerajaan Filipina mengalu-alukan tawaran Australia untuk melatih tenteranya, kata Kementerian Pertahanan kedua-dua negara hari ini, ketika militan Islam terus menguasai beberapa kawasan di selatan.

Pengumuman itu dibuat ketika tentera Filipina, hari ini menggesa lebih banyak bantuan bagi mengusir militan pro-Daesh yang sudah lebih tiga bulan melancarkan serangan ganas di bandar selatan Marawi.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana dan rakan sejawatannya, Marise Payne berkata, Manila bersetuju dengan tawaran Canberra dibuat Ogos lalu untuk melatih tentera tempatan di pangkalannya di negara ini.

"Kami sudah mengukuhkan pembabitan kami, boleh dikatakan satu peningkatan, dalam konteks peristiwa terkini," kata Payne dalam sidang media bersama Lorenzana.

Beliau berkata, banyak kawasan di Asia Pasifik sedang diancam oleh 'pejuang asing' yang terbabit dalam pertempuran di Asia Barat.

"Pejuang asing sedang bertempur habis-habisan. Mereka sangat terlatih dan sangat tekad," kata Payne memberi amaran menambah beliau juga membincangkan ancaman itu dengan Indonesia, Malaysia dan Singapura. -AFP

Berita Harian X