Khamis, 7 September 2017 | 9:13pm
PAOLO Duterte (kiri) dan Maneses Carpio. - Foto EPA
PAOLO Duterte (kiri) dan Maneses Carpio. - Foto EPA

Anak, menantu Duterte nafi jadi ahli kumpulan dadah

MANILA: Anak dan menantu lelaki Presiden Rodrigo Duterte, hari ini menafikan tuduhan mereka menjadi anggota kumpulan pengedar dadah, dengan dakwaan mengejutkan itu menimbulkan persoalan mengenai kempen antinarkotik berdarah yang dilancarkan kerajaan.

Duterte memegang jawatan itu tahun lalu dengan berjanji melancarkan perang terhadap dadah.

Sejak itu, polis membunuh kira-kira 3,800 suspek dalam operasi antinarkotik, manakala ribuan lagi dibunuh dalam keadaan tidak jelas.

Anak lelakinya, Paolo Duterte, dan menantunya, Manases Carpio, hadir pada soal siasat Senat hari ini untuk menjawab tuduhan mereka membantu memudahkan pengangkutan pil perangsang bernilai AS$125.4 juta (RM527 juta) ke Filipina dari China sebagai pertukaran bagi bayaran.

Dakwaan muncul bulan lalu apabila pemberi maklumat kastam memberitahu panel Senat beliau mendengar nama anak dan menantu lelaki Duterte disebut ketika meminta penghantaran dipercepatkan.

Dia kemudian mengeluarkan kenyataan menidakkan pembabitan kedua-duanya.

Namun senator pembangkang, Antonio Trillanes, pada sesi soal siasat menuduh Paolo menjadi anggota kumpulan pengedar dadah, berkata lelaki berusia 42 tahun itu mempunyai tatu di belakangnya menyerupai naga, yang menjadi bukti keanggotaannya dalam kumpulan itu. - AFP

Berita Harian X