Khamis, 24 Ogos 2017 | 7:26am
Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani (kiri) dan rakan sejawat dari Iran, Javad Zarif.
Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani (kiri) dan rakan sejawat dari Iran, Javad Zarif.

Qatar hantar kembali duta ke Tehran

DUBAI: Qatar menghantar kembali duta besarnya ke Iran selepas memanggilnya pulang, Januari lalu.

Kementerian Luar Qatar dalam laman sesawangnya menyebut, duta besar itu kembali ke Tehran bagi menjalankan tugas diplomatik.

Kenyataan itu turut menyebut, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, mengadakan perbincangan menerusi telefon untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan rakan sejawat dari Iran, Javad Zarif.

Keputusan itu dibuat ketika Doha masih berdepan tekanan daripada empat negara Teluk iaitu Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Qatar memanggil balik dutanya ke Tehran pada Januari tahun lalu selepas Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan republik Islam itu.

Arab Saudi menuduh Iran gagal melindungi pejabat kedutaan dan konsulatnya di Tehran serta Mashad daripada penunjuk perasaan. - REUTERS

Berita Harian X