Selasa, 1 Ogos 2017 | 9:01pm

Qatar Airways dapat 3 laluan kontingensi bulan ini

MONTREAL: Syarikat penerbangan Qatar Airways dijangka mendapat akses tiga laluan kontingensi di atas perairan antarabangsa awal bulan ini.

Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat ditaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) susulan pertikaian Qatar dengan beberapa negara jirannya.

Mesyuarat tertutup dengan badan pentadbiran agensi penerbangan PBB di sini, membincangkan laluan kontingensi yang dirancang sebagai sebahagian perjanjian awal yang dicapai awal bulan ini, namun belum dibuka kepada pesawat berdaftar di Qatar.

Qatar meminta Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk campur tangan selepas syarikat penerbangannya dilarang melalui ruang udara Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai sebahagian sekatan ekonomi.

Empat negara terbabit memutuskan hubungan dengan Qatar 5 Jun lalu, menuduhnya menyokong keganasan, namun dinafikan Doha.

Penutupan ruang udara mereka memaksa Qatar Airways terbang lebih jauh dan mahal, menyebabkan Doha menggesa dibenarkan melalui koridor antarabangsa di perairan Teluk ketika ini diuruskan UAE.

"Dalam tempoh kira-kira seminggu lagi, mereka akan memperoleh laluan baharu," kata sumber yang enggan dikenali.

Seorang jurucakap ICAO bagaimanapun enggan mengulas rundingan semalam.

Ahad lalu, agensi berita Arab Saudi, SPA, memetik satu kenyataan daripada pihak berkuasa penerbangan Arab Saudi (GACA) sebagai berkata, mereka sudah bersetuju terhadap sembilan koridor udara kecemasan, dikenal pasti di bawah penyeliaan ICAO dan akan dibuka bermula hari ini.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Qatar serta pihak berkuasa penerbangannya menafikan empat negara terbabit mengambil keputusan sedemikian, kata agensi berita QNA. - Reuters

Berita Harian X