Selasa, 1 Ogos 2017 | 9:45am

Kru Sri Lankan Airlines halang tragedi

COLOMBO: Kru pesawat Sri Lanka Airlines yang membawa 202 penumpang memadamkan api yang berpunca daripada bateri telefon bimbit disimpan dalam lokar di bahagian atas tempat duduk.

Syarikat penerbangan berkata, kejadian besar berjaya dihalang pembantu yang cepat bertindak dalam kapal terbang dari Kochi ke Colombo, kelmarin.

Asap dikesan sejurus selepas makanan dihidangkan dalam penerbangan yang mengambil masa 70 minit itu.

Ia dikesan bermula dari lokasi di atas tempat duduk, kata syarikat penerbangan, yang berterima kasih kepada kru kerana berjaya menghalang tragedi besar.

Kru mengesyaki bateri terbakar dan merendam bagasi dalam air selepas gagal memadamkan api dengan alat pemadam kebakaran.

"Keadaan berjaya dikawal sepenuhnya dan beg itu tidak lagi mengeluarkan asap.

"Berikutan siasatan, kru menemui pek bateri litium dan dua telefon bimbit dalam beg itu," kata kenyataan syarikat penerbangan.

Ia tidak mendedahkan buatan atau model bateri dan telefon terbabit tetapi berkata siasatan dijalankan mengenai kejadian di atas pesawat Airbus A330-200 itu. - AFP

Berita Harian X