Selasa, 25 Jun 2024 | 2:17pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pemandu lori Thailand rancang protes harga diesel, tiada kaitan dasar Malaysia

BANGKOK: Rasionalisasi subsidi diesel Malaysia tidak akan memberi kesan kepada industri trak Thailand, kata Presiden Persekutuan Pengangkutan Darat Thailand, Apichart Prairungruang.

Sebaliknya, Apichart berkata pemandu lori Thailand sedang bersiap sedia untuk mengadakan perhimpunan di seluruh negara di Bangkok pada 3 Julai ini bagi membantah tindakan kerajaan Thailand yang tidak bertindak terhadap kenaikan harga diesel, yang tiada kaitan dengan keputusan Malaysia untuk mengapungkan harga dieselnya.

"Rasionalisasi subsidi diesel Malaysia tidak memberi kesan kepada kami. Mogok yang dijadualkan di seluruh negara ini adalah disebabkan ketidakpuasan terhadap kerajaan yang terus mengabaikan permintaan kami supaya harga diesel dihadkan kepada 30 baht/liter," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan walaupun Malaysia menaikkan sepenuhnya harga diesel, ia masih lebih rendah berbanding di Thailand.

Badan itu berharap dibenarkan untuk menyesuaikan harga pengangkutan bagi mencerminkan kos diesel di negara itu.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 seliter berkuat kuasa 10 Jun, di bawah sistem subsidi bersasar.

Bagaimanapun, Apichart berkata bantahan yang dijadualkan pada 3 Julai itu masih belum disahkan kerana Julai adalah sambutan hari keputeraan Raja dan badan itu tidak mahu melakukan apa-apa yang tidak sesuai semasa negara sedang bersiap sedia untuk perayaan berkenaan.

Beliau menyebut bahawa persekutuan akan bermesyuarat lagi pada 30 Jun untuk memuktamadkan keputusan mereka mengenai perhimpunan itu.

"Lebih daripada 500 trak dari seluruh negara akan berkumpul di Bangkok. Ia akan menjadi lebih besar daripada perhimpunan kami sebelum ini.

"Bagaimanapun, Julai merupakan sambutan hari keputeraan Raja, jadi kita perlu berunding untuk mencapai persefahaman antara ahli-ahli," katanya.

Beliau berkata Persekutuan Pengangkutan Darat Thailand dan sekutunya telah menyerahkan petisyen kepada kerajaan pada 11 Jun, menuntut kebenaran untuk menaikkan yuran pengangkutan sebanyak 3.0-9.0 peratus untuk setiap kenaikan satu bath dalam harga diesel melebihi 30 baht seliter, tetapi permintaan mereka tidak diendahkan.

Beliau berkata lebih sejuta lori berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Darat termasuk trak pikap dan trak pertanian yang menggunakan diesel, akan terjejas akibat harga diesel.

Menurut laporan media tempatan Thailand pada Mei tahun ini, Kabinet Thailand mengehadkan harga runcit diesel pada 33 baht seliter.

Media tempatan juga melaporkan bahawa ini bukan kali pertama pemandu lori mengadakan protes di Bangkok.

Pada Oktober 2021, ratusan trak mengepung Kementerian Tenaga dan mengancam untuk menghentikan 10 peratus perkhidmatan mereka kecuali harga diesel dihadkan.

Pada Februari tahun berikutnya, pemandu lori menyekat beberapa jalan raya di Bangkok, menuntut kerajaan mengehadkan harga diesel pada 25 baht seliter selama setahun.

Permintaan itu ditolak oleh Perdana Menteri ketika itu, Jeneral Prayut Chan-o-cha, yang berpendapat bahawa kerajaan tidak mempunyai bajet untuk had itu, yang akan menelan belanja 20 bilion baht sebulan.

Berita Harian X