Isnin, 17 Jun 2024 | 2:35pm
Suasana di daerah Maungdaw, negeri Rakhine, Myanmar menunjukkan pelarian Rohingya berkumpul di belakang pagar kawat berduri dalam persediaan penempatan sementara di zon sempadan antara Myanmar dan Bangladesh. - Foto AFP
Suasana di daerah Maungdaw, negeri Rakhine, Myanmar menunjukkan pelarian Rohingya berkumpul di belakang pagar kawat berduri dalam persediaan penempatan sementara di zon sempadan antara Myanmar dan Bangladesh. - Foto AFP

Ribuan Rohingya dikhuatiri terperangkap dalam pertempuran di barat Myanmar

RAKHINE: Kira-kira 70,000 etnik Rohingya dikhuatiri terperangkap dalam pertempuran di barat Myanmar, ketika pperangan antara kumpulan tentera etnik bersenjata, Tentera Arakan (AA), dan tentera Myanmar.

Pasukan AA kini menyerang kedudukan junta tentera Myanmar di kawasan pesisir pantai, bersempadan dengan Bangladesh.

Timbalan Menteri Hak Asasi Manusia dalam Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Aung Kyaw Moe, berkata mereka kini tidak mempunyai tempat perlindungan untuk melarikan diri.

"Mereka tidak mempunyai tempat untuk lari lagi," katanya kepada Reuters.

Serangan AA ke atas Maungdaw adalah yang terbaharu sejak beberapa bulan pemberontak menyerang junta Myanmar.

Junta Myanmar menggulingkan kerajaan dipilih secara demokrasi dalam rampasan kuasa pada Februari 2021, namun kini kedudukannya semakin lemah di sebahagian besar negara itu.

Menurut AA, yang berjuang untuk autonomi bagi wilayah Rakhine Myanmar, penduduk bandar Maungdaw, kebanyakan Rohingya, diminta meninggalkan kawasan itu sebelum serangan dilancarkan ke atas penempatan berkenaan.

"Kami akan menyerang baki pos junta yang tinggal," katanya dalam satu kenyataan sambil meminta penduduk menjauhi kedudukan tentera di Maungdaw.

Sementara itu, jurucakap junta tidak memberikan sebarang komen.

Ribuan Rohingya melarikan diri ke Bangladesh bulan lalu bagi mencari tempat perlindungan lebih selamat daripada konflik yang semakin meruncing, walaupun negara jiran itu enggan menerima lebih ramai pelarian.

Mereka terpaksa melarikan diri susulan pertempuran di bandar Buthidaung, sekitar 25 kilometer (km) ke timur Maungdaw, yang ditawan oleh AA selepas pertempuran sengit di mana kumpulan pemberontak itu dituduh menyasarkan komuniti Rohingya.

AA bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit. Rohingya berdepan dengan penganiayaan di Myanmar selama beberapa dekad lalu.

Hampir sejuta daripada mereka kini tinggal di kem pelarian di daerah sempadan Bangladesh, Cox's Bazar, selepas melarikan diri dari tindakan kejam diketuai tentera Myanmar di Rakhine pada 2017.- REUTERS

Berita Harian X