Isnin, 17 Jun 2024 | 1:51pm
Sebuah kapal Pengawal Pantai China (kanan) belayar melepasi bot nelayan Filipina di Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP
Sebuah kapal Pengawal Pantai China (kanan) belayar melepasi bot nelayan Filipina di Laut China Selatan yang dipertikaikan. - Foto AFP

Kapal Filipina dan China berlanggar di Laut China Selatan

BEIJING: Sebuah kapal Filipina membawa bahan bekalan didakwa secara berbahaya menghampiri kapal China sebelum berlaku perlanggaran di perairan berdekatan Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan.

Menurut pengawal pantai China (CCG), kapal Filipina itu didakwa secara 'haram' menceroboh perairan bersebelahan dengan Beting Thomas Kedua.

Katanya, kapal itu didakwa sengaja menghampiri kapal China dengan cara berbahaya, sekali gus mengakibatkan perlanggaran.

"Kapal itu tidak mengendahkan banyak amaran serius daripada pihak China, sebaliknya ia mendekati kapal China dengan cara yang tidak profesional dan mengakibatkan perlanggaran," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai kecederaan atau kerosakan yang berlaku kepada mana-mana kapal.

Menurut CCG, kapal itu secara haram memasuki laut berhampiran Terumbu Ren'ai di Kepulauan Nansha China, dikenali umum sebagai Kepulauan Spratly.

"CCG mengambil langkah kawalan terhadap kapal Filipina mengikut undang-undang," katanya.

Sabtu lalu, China menguat kuasa baharu undang-undang baharu membolehkan CCG menahan warga asing tanpa bicara selama 60 hari kerana didakwa menceroboh kawasan perairan penuh kontroversi itu.

Sebelum ini, jurucakap Kementerian Luar China mempertahankan peraturan baharu itu dengan mendakwa ia bagi menjaga ketenteraman di laut dengan cara lebih baik.

Sementara itu, Manila pula menuduh CCG sebagai biadab dan bertindak sebelah pihak tanpa perikemanusiaan terhadap kapal Filipina.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menyifatkan peraturan baharu itu sebagai suatu yang sangat membimbangkan.

Sejak beberapa bulan lalu, China dan Filipina saling menuduh berhubung pergerakan berbahaya dan perlanggaran di Beting Thomas Kedua, yang terletak di zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina.

Laut China Selatan ialah laluan perairan yang penting, di mana Vietnam, Malaysia dan Brunei juga mempunyai tuntutan bertindih di beberapa bahagian.

Terbaharu, konflik antara China dan Filipina menimbulkan kebimbangan berlakunya pertikaian lebih meluas di perairan itu, sehingga mengheret Amerika Syarikat (AS) dan sekutu lain yang menyatakan sokongan ketenteraan kepada Filipina.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, iaitu laluan mencatatkan perdagangan laut bernilai lebih AS$3 trilion (RM14.15 trilion) setahun. - REUTERS

Berita Harian X