Rabu, 12 Jun 2024 | 12:13pm
Pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat yang memenangi kerusi Parlimen paling banyak dalam PRU tahun lalu. - Foto AFP
Pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat yang memenangi kerusi Parlimen paling banyak dalam PRU tahun lalu. - Foto AFP

Mahkamah Thailand bicara kes bubar Parti Move Forward

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand dijangka bersidang hari ini, bagi kes membubarkan parti pembangkang Move Forward

Pembubaran itu berhubung janji kempen selepas parti itu menang besar pada pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

Perbicaraan itu sebahagian daripada tiga kes mahkamah yang sensitif dan meningkatkan ketidaktentuan politik dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

Mahkamah dijangka mengeluarkan kenyataan hari ini, sebelum menetapkan tarikh keputusan.

Parti Move Forward memenangi sokongan belia secara besar-besaran dengan agenda progresif dan diperkuat oleh kempen media sosial yang canggih.

Parti itu mengetepikan parti yang disokong tentera dalam pilihan raya 2023 dan memperoleh 30 peratus kerusi Dewan Rakyat.

April lalu, mahkamah bersetuju untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu membubarkan Move Forward dan mengenakan larangan politik selama 10 tahun ke atas eksekutif parti berkenaan, kerana mengadakan kempen reformasi undang-undang penghinaan diraja negara atau lese majeste.

Undang-undang itu melindungi monarki daripada penghinaan dan fitnah yang membawa hukuman maksimum 15 tahun bagi setiap kesalahan.

Menurut kumpulan bantuan guaman Thai Lawyers for Human Rights, undang-undang itu digunakan untuk mendakwa lebih 270 orang sejak 2020.

Dalam hujah pembelaannya, Move Forward berkata, aduan SPR menyalahi undang-undang selain turut mempertikai bidang kuasa Mahkamah Perlembagaan berhubung perkara itu.

Januari lalu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan dalam kes terdahulu, iaitu rancangan Move Forward untuk meminda undang-undang lese majeste ialah usaha tersembunyi bagi melemahkan monarki.

Mahkamah kemudian mengarahkan parti itu menghentikan kempennya.

Pita Limjaroenrat, yang mengetuai Move Forward ketika PRU, berkata parti itu tidak mempunyai niat jahat dalam cadangan untuk meminda undang-undang lese majeste.

"Kami mahu mengekalkan status dan kuasa raja supaya berada di atas politik.

"Kami tidak mahu jurang di antara raja dan rakyat semakin melebar," katanya.

Pada tahun 2020, Parti Future Forward, dibubarkan berikutan pelanggaran pembiayaan kempen.

Pembubaran Future Forward antara faktor yang mencetuskan bantahan jalanan antikerajaan secara besar-besaran dan gesaan penyingkiran Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha serta pembaharuan monarki. - REUTERS

Bekas calon perdana menteri Thailand dan Ahli Parlimen parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat (tengah) pada satu sidang media di Parlimen Thailand di Bangkok. - Foto AFP
Bekas calon perdana menteri Thailand dan Ahli Parlimen parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat (tengah) pada satu sidang media di Parlimen Thailand di Bangkok. - Foto AFP

Berita Harian X