Isnin, 10 Jun 2024 | 6:05pm
Gambar dari udara menunjukkan banjir menenggelamkan bangunan selepas hujan lebat di bandar Ha Giang di utara Vietnam. - Foto AFP
Gambar dari udara menunjukkan banjir menenggelamkan bangunan selepas hujan lebat di bandar Ha Giang di utara Vietnam. - Foto AFP

3 mangsa terkorban akibat banjir, tanah runtuh di Vietnam

HANOI: Banjir dan tanah runtuh di utara Vietnam mengorbankan tiga orang selepas hujan lebat yang melanda negara itu selama beberapa hari turut menenggelamkan ribuan rumah penduduk.

Laporan di media menunjukkan air mencurah-curah masuk ke jalan curam dengan kenderaan terbalik dalam banjir di wilayah pergunungan Ha Giang iaitu kawasan popular bagi pelancongan bermotosikal.

Penduduk di bandar Ha Giang dilihat terpaksa berdiri di atas bumbung rumah bagi menunggu untuk diselamatkan berikutan hujan lebat secara berterusan sejak Sabtu lalu.

Media tempatan melaporkan beribu-ribu rumah penduduk sebahagiannya telah ditenggelami air dan banyak jalan raya rosak akibat bencana alam itu.

Penguatkuasa wilayah Ha Giang, dalam satu kenyataan berkata, paras air yang tinggi di Sungai Lo menyebabkan banjir dan tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk mengharungi banjir selepas sungai Hanumante melimpah susulan hujan lebat di Bhaktapur di pinggir Kathmandu, Nepal. - Foto AFP
Seorang penduduk mengharungi banjir selepas sungai Hanumante melimpah susulan hujan lebat di Bhaktapur di pinggir Kathmandu, Nepal. - Foto AFP

"Jalan perhubungan yang berhampiran dengan sempadan China terputus akibat tanah runtuh," katanya.

Voice of Vietnam melaporkan, tiga orang maut selepas dihanyutkan banjir atau tertimbus dalam tanah runtuh.

Banjir teruk turut dilaporkan berlaku di bandar pelabuhan utara Hai Phong dan wilayah Quang Ninh iaitu tapak Warisan Dunia UNESCO, Teluk Ha Long.

Vietnam sering dilanda cuaca buruk pada musim hujan antara Jun dan November.

Tahun lalu, bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh menyebabkan 169 orang maut atau hilang di negara Asia Tenggara itu.

Saintis telah memberi amaran bahawa kejadian cuaca melampau di seluruh dunia semakin kerap berlaku dan memburuk disebabkan oleh perubahan iklim. - AFP

Berita Harian X