Isnin, 10 Jun 2024 | 10:40am
Foto hiasan
Foto hiasan

Nyamuk Aedes Wolbachia sedia dilepaskan di Jakarta

JAKARTA: Pemerintah Provinsi DKI Jakarta masih dalam fasa persiapan untuk melepaskan nyamuk Aedes Aegypti yang mengandungi bakteria Wolbachia di Jakarta Barat, sebagai usaha mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi di lokaliti yang terbabit.

Bagaimanapun, tarikh tepat bagi pelepasan nyamuk berkenaan masih belum dapat ditetapkan.

Bakteria Wolbachia boleh menghalang pembiakan virus denggi kerana ia terdapat secara semula jadi pada pelbagai serangga, namun tidak terdapat dalam nyamuk Aedes Aegypti.

Oleh itu, bakteria Wolbachia dimasukkan ke dalam nyamuk Aedes Aegypti bagi menghalang pembiakan virus denggi di dalam nyamuk itu.

"Kawasan pertama pelepasan adalah di Jakarta Barat, khususnya di Kecamatan Kembangan.

"Jika semua pihak bersedia termasuk masyarakat, kita akan melepaskan nyamuk itu," kata Ketua Dinas Kesihatan DKI Jakarta, Ani Ruspitawati pada Ahad.

Menurut Kementerian Kesihatan, Aedes Aegypti yang terkandung dalam Wolbachia boleh mengurangkan replikasi virus denggi, sekali gus mengurangkan keupayaan nyamuk untuk menyebabkan demam denggi.

Ruspitawati berkata, pembebasan Aedes Aegypti yang mengandungi Wolbachia adalah salah satu usaha mengawal jumlah kes demam denggi berdarah, selain membasmi sarang nyamuk dan aktiviti lain yang dijalankan oleh kerajaan wilayah.

Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono, pula berkata sehingga Mei lalu kes denggi di Jakarta mencapai 2,900.

"Sebagai usaha mengawal dan mencegah kes demam denggi, kerajaan akan mengenakan denda serta-merta sebanyak Rp50 juta (AS$3,000) bagi penduduk yang rumahnya ditemui jentik-jentik nyamuk Aedes Aegypti.

"Ia bertujuan supaya rakyat mula memberi perhatian dalam menangani demam denggi," katanya.

Pencegahan demam denggi menjadi tanggungjawab kerajaan wilayah dan masyarakat melalui usaha membasmi sarang nyamuk, pemeriksaan jentik-jentik berkala dan pemantauan penularan wabak itu.

Mengenai pencegahan demam denggi, ia akan dilaksanakan melalui penyiasatan epidemiologi iaitu pengesanan kes pesakit demam denggi dan seterusnya pengurusan kes, melakukan foging serta pengurusan kes. - AGENSI

Berita Harian X