Khamis, 6 Jun 2024 | 6:12pm
Foto edaran yang dikeluarkan Badan Geologi menunjukkan panahan petir ketika lava meletus dari kawah Gunung Ibu, Maluku Utara, Indonesia. - Foto AFP
Foto edaran yang dikeluarkan Badan Geologi menunjukkan panahan petir ketika lava meletus dari kawah Gunung Ibu, Maluku Utara, Indonesia. - Foto AFP

Gunung Ibu di Indonesia meletus lagi, muntah lahar merah

JAKARTA: Gunung Ibu meletus lagi pada Khamis, memuntahkan lahar merah dan batu ke langit.

Pegawai Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG), Heruningtyas Desi Purnamasari, berkata gunung berapi setinggi 1,325 meter (m) di Pulau Halmahera itu meletus dua kali hari ini.

Rakaman PVMBG menunjukkan letusan pertama pada jam 1.30 pagi tadi memuntahkan lahar dan batu, disusuli letusan kedua selama dua minit pada jam 7.46 pagi yang mengeluarkan abu setinggi 1,200m.

"Status amaran gunung berapi itu masih di tahap empat atau tertinggi," kata Heruningtyas kepada Reuters.

Sehubungan itu, PVMBG melarang sebarang aktiviti pada jarak 7 kilometer dari kawah.

Aktiviti Gunung Ibu adalah yang terbaharu dalam siri letusan sejak bulan lalu.

Gunung berapi berkenaan turut meletus Selasa lalu, memuntahkan abu setinggi 5km ke langit.

Pihak berkuasa memindahkan tujuh kampung berdekatan sejak 16 Mei lalu, tetapi tiada pemindahan baharu dirancang susulan letusan terbaharu hari ini.

Indonesia terletak dalam 'Lingkaran Api' Pasifik yang aktif dari segi geologi dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.

Pada bulan lalu, letusan Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara menyebabkan lebih 12,000 orang terpaksa dipindahkan.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 60 maut akibat banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi, antara gunung berapi paling aktif di Sumatera Barat. - REUTERS

Berita Harian X