Khamis, 6 Jun 2024 | 3:10pm
Pegawai pendakwa mengiringi defendan, Sunendi, untuk mendengar keputusan hakim di mahkamah di Pandeglang, Banten, Indonesia selepas didapati bersalah membunuh sekurang-kurangnya enam badak jawa terancam. - Foto AFP
Pegawai pendakwa mengiringi defendan, Sunendi, untuk mendengar keputusan hakim di mahkamah di Pandeglang, Banten, Indonesia selepas didapati bersalah membunuh sekurang-kurangnya enam badak jawa terancam. - Foto AFP

Pemburu haram Indonesia bunuh 6 badak Jawa dihukum penjara 12 tahun

JAKARTA: Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang pemburu haram selepas didapati bersalah membunuh sekurang-kurangnya enam ekor badak Jawa yang diancam kepupusan.

Badak sumbu endemik yang hidup di pulau terpadat di Indonesia itu adalah salah satu mamalia paling terancam di dunia, dengan pihak berkuasa percaya hanya terdapat kira-kira 82 yang masih bertahan dalam habitat liar.

Suspek dikesan ketika kerajaan Indonesia dan polis menyiasat dakwaan pemburu haram yang dikatakan terbabit dalam satu kumpulan bertanggungjawab membunuh 26 ekor badak Jawa sejak 2019, hampir 25 peratus daripada jumlah keseluruhan haiwan itu.

"Defendan didapati bersalah dengan asas kukuh. Dia membunuh, menyimpan dan memperdagangkan bahagian hidupan liar yang dilindungi.

"Sehubungan itu, tertuduh didenda 100 juta rupiah (RM28,763)," kata Ketua Hakim sebuah mahkamah di wilayah Banten di Jawa.

Pelaku yang dikenali sebagai Sunendi, disabitkan bersalah membunuh badak sumbu spesies itu antara 2019 dan 2023 di Taman Negara Ujung Kulon, Jawa.

Pendakwaraya hanya memohon hukuman penjara lima tahun tetapi jurucakap mahkamah, Panji Aswinartha, berkata hukuman yang dijatuhkan lebih keras kerana Sunendi juga didapati bersalah atas kesalahan memiliki senjata dan mencuri.

Menurut dakwaan mahkamah, Sunendi menggunakan senapang ringan 'airsoft' dan pistol untuk memburu badak sumbu.

"Tindakan defendan menimbulkan keresahan orang ramai. Dia juga menikmati hasil jenayahnya dan dia tidak mempunyai belas kasihan terhadap hidupan liar yang dilindungi," kata Panji.

Terdahulu, media tempatan melaporkan polis menahan lima pemburu haram dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan sedang memburu lapan lagi berkaitan pemburuan haram itu.

Polis Banten berkata pihaknya masih sedang mengesahkan dakwaan mengenai pemburu haram yang sama didakwa membunuh 26 ekor badak Jawa sejak 2019.

Haiwan yang jarang ditemui itu mempunyai lipatan kulit yang longgar, kelihatan seolah-olah ia memakai kepingan perisai.

Jumlahnya sebelum ini adalah beribu-ribu di seluruh Asia Tenggara, tetapi terjejas teruk akibat aktiviti pemburuan haram yang berleluasa dan pencerobohan manusia di habitat mereka. - AFP

Berita Harian X