Ahad, 2 Jun 2024 | 2:29pm
Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen (kanan) dan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamed Khaled Nordin (kiri) mengalu-alukan kedatangan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semasa sidang kemuncak Dialog Shangri-La ke-21 di Singapura. - Foto AFP
Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen (kanan) dan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamed Khaled Nordin (kiri) mengalu-alukan kedatangan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semasa sidang kemuncak Dialog Shangri-La ke-21 di Singapura. - Foto AFP

Presiden Ukraine mahu raih sokongan negara ASEAN tentang Russia

SINGAPURA: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, tiba di Singapura hari ini dalam usaha mendapatkan sokongan lebih luas masyarakat antarabangsa, terutama negara ASEAN, untuk negaranya dalam perang menentang Russia .

Usaha itu dilakukan ketika Ukraine berdepan serangan baharu yang lebih sengit , selepas dua tahun menghadapi pencerobohan tentera Russia.

Penganjur forum Dialog Shangri-La Ke-21 mengesahkan Zelensky dijadualkan berucap pada sesi bertajuk 'Memikirkan Semula Rumusan untuk Keamanan Global dan Kestabilan Serantau'.

Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen dan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri, Mohamed Khaled Nordin, turut berucap pada sesi yang sama.

Sumber memberitahu, delegasi Ukraine berharap dapat bertemu delegasi China yang diketuai oleh Menteri Pertahanan, Dong Jun, di Singapura.

Ditanya sama ada Dong akan bersetuju untuk bertemu Zelensky, jurucakap Kementerian Pertahanan China, Wu Qian berkata: "Saya tidak menjawab soalan bersifat andaian".

Presiden Ukraine cuba melobi pelbagai negara untuk menyokong sidang kemuncak keamanan yang akan diadakan di Switzerland pada 15 dan 16 Jun ini.

Zelensky berharap untuk mendapatkan sokongan meluas masyarakat antarabangsa berhubung syarat-syarat yang diperlukan untuk menamatkan perang dengan Russia.

Russia menjelaskan bahawa ia tidak akan mengambil bahagian dalam persidangan itu dan China berkata adalah 'sukar' untuk menghadirinya, jika Russia tidak mengambil bahagian.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Indonesia, yang juga bakal Presiden, Prabowo Subianto, tidak memberikan jawapan apabila ditanya sama ada Indonesia akan menghantar delegasi ke sidang kemuncak berkenaan.

Prabowo berkata beliau belum menjadi Presiden Indonesia dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu.

Zelensky tiba di hotel Shangri-La, Orange Grove Road, sebelum jam 6 petang.

Selepas ketibaannya, Zelensky menerusi hantaran di laman media sosial di X berkata, keselamatan global adalah mustahil apabila negara terbesar di dunia mengabaikan sempadan yang diiktiraf.

"Mereka juga tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) serta menggunakan kelaparan, kegelapan, dan pemerasan nuklear," katanya merujuk kepada Russia.

Ketika berada di Singapura, Zelensky berkata, beliau akan bertemu Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Presiden Timor-Leste; Jose Ramos-Horta, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin dan pelabur Singapura.

Seorang pegawai pertahanan AS berkata Austin akan membincangkan keadaan semasa medan perang di Ukraine dan menekankan komitmen negara itu untuk memastikan Ukraine mempunyai apa yang diperlukan bagi mempertahankan diri daripada pencerobohan berterusan Russia.

Kehadiran Zelensky pada persidangan keselamatan utama Asia edisi 2024 dibuat ketika bantuan keselamatan untuk negaranya dijangka menjadi salah satu isu utama yang dibincangkan pada sidang kemuncak keselamatan itu.

Laporan kemungkinan kehadiran Zelensky pada Dialog Shangri-La ke-21 muncul 31 Mei lalu, pada hari pertama forum selama tiga hari itu. - AGENSI

Berita Harian X