Sabtu, 1 Jun 2024 | 3:54pm
Anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep, yang mahu bertanding dalam pilihan raya Jakarta. - Foto AGENSI
Anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep, yang mahu bertanding dalam pilihan raya Jakarta. - Foto AGENSI

Mahkamah Indonesia lulus pertukaran syarat, bolehkan anak Jokowi tanding

JAKARTA: Mahkamah Agung (MA) Indonesia telah meluluskan perubahan peraturan mengenai umur calon dalam pilihan raya wilayah, kata mahkamah pada 30 Mei.

Berita itu diumumkan di tengah-tengah spekulasi anak lelaki Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep, 29, sedang berusaha untuk bertanding dalam pilihan raya Jakarta yang akan datang.

Satu petisyen difailkan di mahkamah pada April, menggesa peraturan itu diubah supaya calon boleh berumur 30 tahun apabila mereka dilantik, bukannya pada tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula mengesahkan penyertaan mereka dalam pilihan raya.

Jurucakap mahkamah, Suharto, berkata mahkamah meluluskan perubahan itu, yang difailkan oleh Parti Garuda, sebuah kumpulan yang tidak dikenali tetapi dasarnya sejajar dengan gabungan pemerintah.

"Ini supaya Indonesia boleh dipimpin oleh anak-anak muda," kata jurucakap Garuda, Teddy Gusnady.

Keputusan mengejut itu dibuat apabila anak bongsu Jokowi dinaikkan pangkat sebagai calon berpotensi Timbalan Gabenor Jakarta, dalam pilihan raya wilayah yang akan diadakan November tahun ini.

Kaesang, yang terkenal dengan perniagaan pisang goreng dan pelantikan baru-baru ini sebagai ketua Parti Solidariti Indonesia (PSI), tidak akan berusia 30 tahun sehinggalah Disember ini.

Hantaran di media sosial baru-baru ini telah memaparkan 'poster pilihan raya' Budisatrio Djiwandono, anak saudara kepada bakal presiden, Prabowo Subianto, bersama Kaesang.

Pegawai parti Gerindra dan PSI tidak segera menjawab soalan mengenai pencalonan Kaesang tetapi poster itu dikongsi di laman Instagram rasmi Gerindra oleh pegawai tertinggi Gerindra pada 29 Mei.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kebimbangan mengenai tahap politik dinasti dalam demokrasi ketiga terbesar di dunia dan bertujuan menjejaskan integriti mahkamah tertingginya.

Pada Februari, Prabowo, mantan komander tentera, memenangi Pilihan Raya Presiden bersama pasangannya, Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Jokowi.

Pencalonan Gibran dibolehkan hasil perubahan kontroversi undang-undang pilihan raya, semakan yang turut dicadangkan oleh Parti Garuda.

Bagaimanapun, pakar undang-undang menyatakan bahawa untuk Kaesang bertanding sebagai Timbalan Gabenor di Jakarta, perubahan perlu dibuat bukan sahaja kepada peraturan pilihan raya, sebaliknya perlu merangkumi undang-undang pilihan raya wilayah. - AGENSI

Berita Harian X