Sabtu, 1 Jun 2024 | 2:31pm
Gunung Ibu kembali memuntahkan asap tebal di Gam Ici, Maluku Utara, Indonesia. - Foto AFP
Gunung Ibu kembali memuntahkan asap tebal di Gam Ici, Maluku Utara, Indonesia. - Foto AFP

Gunung Ibu meletus lagi, amaran banjir lahar sejuk dikeluarkan

JAKARTA: Gunung berapi di pulau Halmahera di timur Indonesia meletus lagi hari ini dan memuntahkan awan abu setinggi lima kilometer (km) ke langit , kata Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia (PVMBG).

Pada masa sama, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Indonesia memberi amaran mengenai potensi banjir kilat dan aliran lahar sejuk.

Letusan Gunung Ibu pada 11.03 pagi (0203 GMT) adalah susulan beberapa siri letusan pada Mei, selepas pihak berkuasa menyedari peningkatan aktiviti gunung berapi sejak April, memaksa penduduk di tujuh kampung berdekatan dipindahkan.

"Gumpalan abu berwarna kelabu dengan intensiti tebal terbentuk dan kelihatan condong ke arah barat daya," kata agensi itu.

Tambahnya, penduduk dan pelancong perlu mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 7km dari kawah aktif.

Rakaman yang dikongsi agensi terbabit menunjukkan gunung berapi itu memuntahkan abu yang semakin tebal dan akhirnya menjulang ke langit.

BNPB memberitahu pihak berkuasa tempatan untuk bersedia dengan kemungkinan bencana sekunder seperti banjir kilat dan aliran lahar sejuk.

Analisis oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia menunjukkan rantau itu berpotensi dilanda hujan sederhana hingga lebat, walaupun tidak menyatakan bila ia mungkin berlaku.

"Sekiranya terdapat timbunan sisa yang berbaki susulan letusan itu, ia perlu dibersihkan segera kerana berbahaya.

Jika hujan lebat, banjir kilat boleh berlaku dan menyebabkan kerosakan dan banyak kematian," kata Ketua BNPB, Suharyanto, dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PVMBG mengeluarkan amaran tahap tertinggi bagi gunung berapi itu sejak 16 Mei lalu.

Aktiviti terbaru Gunung Ibu itu menyusuli beberapa siri letusan gunung berapi lain di Indonesia, yang terletak di Lingkar Api Pasifik, dengan sekitar 127 gunung berapi aktif.

Banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi, salah satu daripada gunung berapi paling aktif di wilayah Sumatera Barat, melanda beberapa daerah susulan hujan lebat pada 11 Mei, mengorbankan sekurang-kurangnya 67 mangsa dengan 20 lagi dilaporkan masih hilang. - REUTERS

Berita Harian X