Jumaat, 31 Mei 2024 | 11:35am
Anggota polis berkawal di Hotel Shangri-La semasa sidang kemuncak Dialog Shangri-La ke-21 di Singapura, ketika ketegangan mengenai Taiwan dan Laut China Selatan semakin memuncak. - Foto AFP
Anggota polis berkawal di Hotel Shangri-La semasa sidang kemuncak Dialog Shangri-La ke-21 di Singapura, ketika ketegangan mengenai Taiwan dan Laut China Selatan semakin memuncak. - Foto AFP

Ketua Pertahanan AS, China bertemu di Singapura

SINGAPURA: Ketua pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan China hari ini berada di Singapura bagi menghadiri forum keselamatan utama, di mana mereka akan mengadakan rundingan langsung yang jarang berlaku.

Pertemuan disertai Taiwan dan pihak lain yang bertelagah dijangka mendominasi acara yang berlangsung selama tiga hari itu.

Pertemuan antara Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dan Menteri Pertahanan China, Dong Jun, di luar Dialog Shangri-La akan menjadi perbincangan bersemuka substantif pertama antara kedua-dua ketua pertahanan negara itu dalam tempoh 18 bulan.

Ketua dan pegawai pertahanan dari seluruh dunia menghadiri forum tahunan itu, yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi kayu ukur hubungan AS-China.

Edisi tahun ini diadakan seminggu selepas China mengadakan latihan ketenteraan di sekitar Taiwan dan memberi amaran mengenai perang ke atas pulau yang disokong AS itu berikutan pelantikan Presiden Lai Ching-te, yang disifatkan Beijing sebagai 'pemisah berbahaya'.

Pertikaian mengenai pulau demokratik Taiwan, yang Beijing anggap sebagai sebahagian daripada wilayahnya, adalah antara punca utama pertelagahan antara negara yang saling bersaing.

Beijing turut berang kerana hubungan pertahanan Washington yang semakin erat di Asia-Pasifik, khususnya dengan Filipina dan penempatan secara kerap kapal perang dan jet pejuangnya di Selat Taiwan dan Laut China Selatan.

Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden dan China meningkatkan komunikasi untuk mengurangkan pergeseran antara pesaing bersenjata nuklear, dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken melawat Beijing dan Shanghai bulan lalu.

Tumpuan utama ialah penyambungan semula dialog membabitkan tentera kedua-dua negara.

Selepas sidang kemuncak antara pemimpin China, Xi Jinping dan Biden pada November tahun lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan kembali rundingan ketenteraan peringkat tinggi.

Ia termasuk saluran komunikasi antara ketua Komando Indo-Pasifik AS dan komander China yang bertanggungjawab untuk operasi ketenteraan berhampiran Taiwan, Jepun dan di Laut China Selatan.

Tentera China dan AS mengadakan beberapa siri pertemuan berhubung perairan yang dipertikaikan dengan China mendakwa berhak ke atas keseluruhan kawasan itu.

Austin memberi amaran, sebelum Biden dan Xi bersetuju untuk menyambung semula dialog ketenteraan membabitkan kedua-dua negara, pertembungan berpotensi melarat sehingga tidak terkawal, terutama jika tiada talian komunikasi terbuka antara tentera AS dan China.

Pertemuan antara Austin dan Dong itu adalah susulan panggilan telefon pada April, dengan kedua-dua pihak memberi harapan untuk rundingan ketenteraan selanjutnya. - AFP

Berita Harian X