Khamis, 30 Mei 2024 | 8:04pm
Letusan abu yang berwarna kelabu terbang ke arah barat laut dan dengungan dari letusan itu dapat didengar sejauh Pos Pemerhatian Gunung Marapi di Bukit tinggi. - Foto AGENSI
Letusan abu yang berwarna kelabu terbang ke arah barat laut dan dengungan dari letusan itu dapat didengar sejauh Pos Pemerhatian Gunung Marapi di Bukit tinggi. - Foto AGENSI

Gunung berapi Indonesia meletus awan abu

BUKIT TINGGI: Sebuah gunung berapi di barat Indonesia meletus hari ini dan memuntahkan awan abu setinggi dua kilometer ke langit.

Susulan itu, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk mengenai potensi bahaya daripada aliran lava sejuk.

Menurut agensi mitigasi bencana kebangsaan atau BNPB, Gunung Marapi di wilayah Sumatera Barat meletus pada 1:04 tengah hari (waktu tempatan), memuntahkan awan kelabu tebal setinggi dua kilometer di atas puncaknya.

Gunung berapi itu antara yang paling aktif di Indonesia berada di paras amaran kedua tertinggi dalam sistem empat peringkat negara itu selama beberapa minggu, dengan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai untuk tinggal di luar zon terkecuali sepanjang 4.5 kilometer di sekitar kawahnya.

Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, berkata penduduk tempatan dinasihatkan berwaspada dengan ancaman aliran lahar sejuk berikutan letusan itu.

"Orang ramai digesa menjauhi kawasan sungai yang berpunca daripada gunung berapi Marapi dan berwaspada dengan potensi bahaya lahar yang boleh berlaku terutama ketika hujan," katanya.

Lahar sejuk, juga dikenali di Indonesia sebagai lahar, adalah campuran bahan gunung berapi seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa turun ke lereng gunung berapi oleh hujan.

Hujan lebat bulan ini menyebabkan serpihan gunung berapi mengalir ke daerah berhampiran Marapi, membunuh lebih 60 orang, memusnahkan berpuluh-puluh rumah dan merosakkan jalan raya serta masjid.

Menurut ketua agensi geologi, Muhammad Wafid, sekiranya abu jatuh berlaku, penduduk perlu memakai pelitup muka untuk mengelakkan masalah pernafasan dan membersihkan abu gunung berapi dari bumbung rumah mereka bagi mengelakkan runtuhan.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di "Lingkaran Api" Pasifik.

Pada bulan Disember, Marapi meletus dan memuntahkan menara abu setinggi 3,000 meter ke langit. Sekurang-kurangnya 24 pendaki, kebanyakannya pelajar universiti, maut dalam letusan itu. - AFP

Berita Harian X