Selasa, 28 Mei 2024 | 3:06pm
Pemandangan dari udara di Beting Scarborough yang dikawal China di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan Filipina. - Foto AFP
Pemandangan dari udara di Beting Scarborough yang dikawal China di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan Filipina. - Foto AFP

Manila bantah larangan China tangkap ikan di Laut Filipina Barat

MANILA: Filipina sekali lagi membantah tindakan China mengenakan moratorium menangkap ikan di Laut China Selatan, termasuk dalam kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ) negara itu di Laut Filipina Barat (WPS).

China mengumumkan akan menguatkuasakan larangan menangkap ikan di Laut China Selatan bermula 1 Mei sehingga 16 September depan.

Terdahulu, mereka menegaskan pengawal pantainya akan mula menahan selama 60 hari tanpa perbicaraan, mana-mana warga asing yang didapati menceroboh kawasan di laluan air yang kononnya di bawah bidang kuasanya mulai 15 Jun ini.

Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) berkata, ini bantahan diplomatik ke-25 disuarakan Filipina terhadap China tahun ini dan yang ke-158 di bawah pentadbiran Ferdinand Marcos Jr.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, DFA menjelaskan larangan secara sebelah pihak oleh China dalam kawasan EEZ Filipina itu melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Katanya, larangan China itu turut mencetuskan ketegangan di WPS dan Laut China Selatan, yang bertentangan dengan persefahaman antara Marcos Jr dan Presiden China, Xi Jinping, untuk meredakan pertikaian maritim.

Kapal Pengawal Pantai China menembak meriam air ke arah kapal bekalan Filipina, Unaizah, ketika menuju di Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto REUTERS
Kapal Pengawal Pantai China menembak meriam air ke arah kapal bekalan Filipina, Unaizah, ketika menuju di Beting Thomas Kedua di Laut China Selatan. - Foto REUTERS

"Filipina (menyeru) China berhenti daripada melakukan tindakan bertentangan yang melanggar hak kedaulatan dan bidang kuasa Filipina di zon maritim sendiri," katanya.

Filipina sudah menentang dasar baharu China itu, yang secara langsung menurut DFA, akan melanggar undang-undang antarabangsa.

Mereka sebaliknya menggesa Beijing mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS 1982 dan keputusan Timbang Tara 2016 yang muktamad dan mengikat.

DFA juga meminta China mematuhi komitmennya di bawah Deklarasi 2002 mengenai Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan.

Ia memetik Perenggan 716 keputusan timbang tara 2016, yang menyatakan mana-mana moratorium penangkapan ikan China di Laut China Selatan yang merangkumi EEZ Filipina dianggap sebagai pelanggaran Artikel 56 UNCLOS.

Keputusan timbang tara oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap yang berpangkalan di The Hague, Belanda sebelum ini mengisytiharkan tuntutan China ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, termasuk EEZ Filipina adalah undang-undang yang tidak berasas.

Sejak tahun lalu, kapal Pengawal Pantai China secara agresif mengganggu kapal Filipina dan bot nelayan di sekitar Beting Panatag (Scarborough), juga dikenali sebagai Bajo de Masinloc, selain cuba menyekat misi bekalan semula ke pos tentera Filipina di Beting Ayungin. - AGENSI

Berita Harian X