Isnin, 20 Mei 2024 | 6:12pm
Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam yang baharu, Tran Thanh Man sebelum ini mengetuai wilayah Delta Mekong Can Tho. - Foto AFP
Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam yang baharu, Tran Thanh Man sebelum ini mengetuai wilayah Delta Mekong Can Tho. - Foto AFP

Parlimen Vietnam memilih speaker baharu di tengah-tengah rombakan kepimpinan

HANOI: Perhimpunan Kebangsaan Vietnam memilih Tran Thanh Man sebagai Pengerusi baharunya, iaitu satu daripada beberapa perubahan penting dalam rombakan berterusan kepimpinan tertinggi negara itu.

Man, 61, yang berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Dewan sejak 2021, menggantikan Vuong Dinh Hue, yang meletak jawatan bulan lalu kerana pelanggaran peraturan dan kekurangan tidak dinyatakan, antara seorang daripada tiga pegawai tertinggi parti yang keluar sejak Mac.

Setakat ini, dua Presiden dan seorang Speaker Parlimen telah meletak jawatan dalam tempoh kurang 18 bulan di tengah-tengah kempen antirasuah yang semakin meningkat di negara yang diperintah komunis itu.

Jawatan itu adalah antara empat tonggak kepimpinan Vietnam.

Man, yang disokong oleh kesemua 475 Ahli Parlimen yang hadir pada undian Dewan itu, memegang ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi dan sebelum itu berkhidmat sebagai Pengerusi wilayah Delta Mekong Can Tho.

Beliau kemudian dimasukkan ke Politburo pada 2021.

Pencalonan Man untuk jawatan itu diumumkan pada hujung minggu lalu dengan seorang Presiden negeri yang baharu, Menteri Polis, To Lam, yang dijangka disahkan akhir minggu ini oleh Dewan yang mengadakan sesi undian selama sebulan.

Man memberitahu Dewan bahawa beliau akan setia kepada negeri, rakyat dan Perlembagaan, sambil menambah akan cuba memenuhi semua tugas yang diberikan oleh negeri dan rakyat.

Kempen antirasuah yang digelar "relau api" dan diketuai oleh Setiausaha Agung parti itu, Nguyen Phu Trong, menyaksikan beribu-ribu pegawai dan eksekutif perniagaan berprofil tinggi didakwa atau dipaksa berundur.

Parti itu minggu lalu menamakan empat anggota baharu Politburo, badan pembuat keputusan tertinggi negara itu, selepas memecat pemimpin peringkat kelima, Truong Thi Mai daripada kumpulan itu, yang keenam meninggalkan Politbiro sejak lewat 2022. - REUTERS

Berita Harian X