Ahad, 19 Mei 2024 | 10:53am
Kilat muncul di tengah-tengah ribut ketika Gunung Ibu memuntahkan bahan gunung berapi seperti yang dilihat dari Gam Ici di Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, Indonesia pada 18 Mei 2024 dalam imej diedarkan The Center for Volcanology and Geological Hazard Mitigation (PVMBG). - Foto PVMBG via REUTERS
Kilat muncul di tengah-tengah ribut ketika Gunung Ibu memuntahkan bahan gunung berapi seperti yang dilihat dari Gam Ici di Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, Indonesia pada 18 Mei 2024 dalam imej diedarkan The Center for Volcanology and Geological Hazard Mitigation (PVMBG). - Foto PVMBG via REUTERS

Letusan Gunung Ibu: Penduduk 7 kampung dipindahkan

JAKARTA: Letusan gunung berapi di pulau terpencil Indonesia, Halmahera semalam yang memuntahkan awan abu kelabu ke langit memaksa penduduk tujuh kampung dipindahkan.

Letusan Gunung Ibu menyaksikan abu setinggi empat kilometer ketika kilatan petir menyambar di sekitar kawahnya, menurut maklumat dan imej dikongsi agensi vulkanologi Indonesia.

Menurut pegawai agensi mitigasi bencana, Abdul Muhari, pasukan polis, tentera serta anggota mencari dan menyelamat dihantar ke kawasan itu untuk memindahkan penduduk dari kampung sekitar.

Gambar yang dikongsi agensi bencana menunjukkan pihak berkuasa membantu warga emas, manakala penduduk lain dipindahkan dengan pikap dan ditempatkan di khemah kecemasan.

Agensi itu tidak memberikan sebarang maklumat mengenai bilangan mangsa yang dipindahkan, tetapi pihak berkuasa mengesyorkan supaya penduduk mengosongkan kawasan pada jarak radius tujuh kilometer.

Agensi gunung berapi Indonesia menaikkan tahap amaran gunung berapi itu ke tahap tertinggi pada Khamis, selepas Ibu meletus beberapa kali awal bulan ini.

Aktiviti Ibu mengikuti beberapa siri letusan gunung berapi di Indonesia, negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.

Banjir kilat dan aliran lava sejuk dari Gunung Marapi, antara paling aktif di wilayah Sumatera Barat, meliputi beberapa daerah berhampiran berikutan hujan lebat pada 11 Mei, mengorbankan lebih 60 orang.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, gunung berapi Ruang Sulawesi Utara juga telah meletus, memuntahkan lava. Letusan itu mendorong pihak berkuasa memindahkan lebih 12,000 orang di pulau berdekatan.

Berita Harian X