Sabtu, 18 Mei 2024 | 1:08pm
Kapal Pengawal Pantai China menembak meriam air ke arah kapal bekalan Filipina pada 4 Mei ketika menuju ke Second Thomas Shoal di Laut China Selatan. - Foto REUTERS
Kapal Pengawal Pantai China menembak meriam air ke arah kapal bekalan Filipina pada 4 Mei ketika menuju ke Second Thomas Shoal di Laut China Selatan. - Foto REUTERS

Marcos ikrar pertahan hak Filipina

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, hari ini berkata negara itu akan bersungguh-sungguh mempertahankan hak milik mereka.

Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan dengan China semakin meningkat berhubung pertikaian maritim.

Beliau berkata tingkah laku terhadap penceroboh yang tidak menghormati integriti wilayah Filipina akan dipandu oleh undang-undang dan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang mematuhi peraturan.

"Terhadap penceroboh yang tidak menghormati integriti wilayah kami, kami akan bersungguh-sungguh mempertahankan apa yang menjadi milik kami," kata Marcos.

Beliau tidak menjelaskan butiran penceroboh.

Bagaimanapun Manila dan Beijing berada dalam ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan.

Ia termasuk penggunaan meriam air oleh China sehingga mengakibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda, laser tentera diarahkan kepada kapal Filipina yang disifatkan 'gerakan berbahaya' di kawasan pertikaian.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, iaitu laluan perdagangan kapal bernilai AS$3 trilion, setiap tahun termasuk bahagian yang dituntut Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Keputusan 2016 oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap mendapati tuntutan menyeluruh China tidak mempunyai asas undang-undang.

Berita Harian X