Jumaat, 17 Mei 2024 | 3:13pm
Anggota Pengawal Pantai Filipina (PCG) bertugas di jeti ketika Kapal Tindak Balas Berbilang Peranan (MRRV) sepanjang 97 meter yang baharu diperoleh PCG, BRP Melchora Aquino (MRRV-9702) tiba dari Jepun di pelabuhan antarabangsa di Manila, Filipina. - Foto AFP
Anggota Pengawal Pantai Filipina (PCG) bertugas di jeti ketika Kapal Tindak Balas Berbilang Peranan (MRRV) sepanjang 97 meter yang baharu diperoleh PCG, BRP Melchora Aquino (MRRV-9702) tiba dari Jepun di pelabuhan antarabangsa di Manila, Filipina. - Foto AFP

Filipina beli 5 kapal pengawal pantai dari Jepun bernilai AS$400 juta

MANILA: Filipina bersetuju membeli lima kapal peronda bagi pengawal pantai dari Jepun melalui perjanjian bernilai lebih $400 juta (RM1.87 bilion).

Pembelian Filipina itu dibuat ketika negara terbabit berdepan tekanan dan ancaman pasukan Pengawal Pantai China (CCG) yang semakin meningkat di Laut China Selatan .

Menurut Kementerian Luar Filipina, Jepun menyediakan pinjaman 64.38 bilion yen (RM1.93 bilion) untuk pembelian lima kapal dengan tindak balas pelbagai peranan sepanjang 97 meter selain bayaran bagi pembangunan kemudahan sokongan yang diperlukan.

"Ia akan membantu Pengawal Pantai Filipina (PCG) untuk meningkatkan keupayaan melaksanakan operasi di perairan, khususnya menangani jenayah rentas sempadan negara," katanya.

Tokyo ialah penyedia utama bantuan pembangunan luar negara kepada Filipina.

PCG kini mempunyai dua kapal peronda sepanjang 97 meter, namun dilihat tidak mencukupi untuk mengawal perairan di sekitar negara pulau yang luas itu.

Sejak beberapa bulan lalu, kapal PCG terbabit dalam beberapa pertembungan dengan kapal Pengawal Pantai China (CCG) di sekitar kawasan terumbu kontroversi di Laut China Selatan, yang didakwa dimiliki sepenuhnya oleh Beijing.

Dalam kes terbaharu 30 April lalu, bot PCG ditembak dengan meriam air oleh CCG, berhampiran Beting Scarborough yang dikawal China.

Beting Scarborough terletak kira-kira 240 kilometer (km) ke barat pulau utama Luzon di Filipina dan hampir 900km dari Hainan, iaitu kawasan daratan China yang terdekat.

Manila dan Tokyo sedang berusaha menguatkan lagi kerjasama keselamatan antara dua negara termasuk melaksanakan proses rundingan dalam bidang pertahanan yang membolehkan tentera dikerahkan ke wilayah masing-masing.

Beijing menuntut sebahagian besar laluan perairan di Laut China Selatan dan membelakangkan tuntutan saingan dari negara lain, termasuk Filipina.

Tuntutan China itu bagaimanapun sudah diputuskan tidak mempunyai asas undang-undang oleh mahkamah antarabangsa. - AFP

Berita Harian X