Khamis, 16 Mei 2024 | 8:32pm
Abu kelabu tebal dan awan gelap keluar dari Gunung Ibu di wilayah Maluku Utara, Indonesia pada 15 Mei. - Foto EPA-EFE
Abu kelabu tebal dan awan gelap keluar dari Gunung Ibu di wilayah Maluku Utara, Indonesia pada 15 Mei. - Foto EPA-EFE

Indonesia meningkatkan tahap amaran gunung berapi kepada tertinggi selepas letusan besar

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia hari ini menaikkan status waspada gunung berapi di timur kepulauan itu ke tahap tertinggi, selepas memuntahkan abu dan asap setinggi lima kilometer (km), untuk hari kedua berturut-turut.

Gunung Ibu yang terletak di pulau terpencil Halmahera dekat timur Indonesia, meletus pagi tadi. Ia mendorong agensi geologi republik itu menaikkan status ke tahap waspada tertinggi bagi sistem empat peringkat, yang membawa maksud letusan sedang berlaku.

Ketua Agensi Geologi Indonesia, Muhammad Wafid, berkata aktiviti gunung berapi meningkat dengan ketara sejak pertengahan April lalu.

Beliau berkata, ia menyebabkan berlaku beberapa siri gempa bumi kerana tekanan meningkat berikutan pergerakan magma ke permukaan gunung berapi.

Berdasarkan pemantauan visual dan instrumental menunjukkan peningkatan aktiviti gunung berapi Gunung Ibu, tahap amaran dinaikkan dariapada tiga kepada empat," katanya dalam kenyataan.

Berikutan itu, penduduk yang tinggal berhampiran gunung berkenaan termasuk pelancong dinasihatkan menjauhi zon terkecuali dalam lingkungan dua hingga tujuh km dari puncak.

Mereka turut dinasihatkan untuk memakai pelitup hidung dan mulut sekiranya diselubungi abu.

Gunung Ibu tergolong salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia.

Ia meletus lebih 21,000 kali tahun lalu.

Menurut angka rasmi, lebih 700,000 orang menghuni Pulau Halmahera setakat 2022.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang meluas sering kali mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana berada dalam kedudukan lingkaran api pasifik.

Bulan lalu, Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih puluhan kali, memaksa ribuan penduduk di pulau berdekatan berpindah. Statusnya sejak itu diturunkan ke tahap amaran kedua tertinggi. - AFP

Berita Harian X