Khamis, 16 Mei 2024 | 7:04pm
Sebuah bas melepasi papan tanda neon kedai ganja di Bangkok, Thailand, 18 Ogos 2023. - Foto REUTERS
Sebuah bas melepasi papan tanda neon kedai ganja di Bangkok, Thailand, 18 Ogos 2023. - Foto REUTERS

Kerajaan digesa memikirkan semula rancangan untuk 'mengharamkan' ganja

BANGKOK: Puluhan penyokong ganja di Thailand hari ini menggesa kerajaan negara itu memansuhkan rancangan untuk mengharamkan semula penggunaan bahan itu secara rekreasi selepas dua tahun menghapuskan ia sebagai satu jenayah.

Ia selepas Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, menyarankan agar bahan itu dibenarkan untuk penggunaan perubatan saja.

Beliau juga berpendirian tegas bahawa penggunaan dadah menyebabkan ketagihan dan memusnahkan masa depan golongan muda.

Susulan kenyataan itu, kumpulan proganja bertemu dengan menteri kesihatan hari ini dan menggesanya untuk mempertimbang larangan bahan itu.

Menurut Setiausaha Agung Rangkaian Masa Depan Ganja Thailand, Prasitchai Nunual, antara yang tidak bersetuju dengan tindakan daripada kerajaan negara itu.

"Walaupun sebagai penggunaan untuk perubatan, jangan bawa tumbuhan rakyat itu ke dalam sistem. Ia telah menjadi resipi kami selama beratus-ratus tahun.

"Apabila anda memerlukan lesen, terdapat rasuah," dakwanya.

Pertama kali Thailand menghalal ganja untuk penyelidikan dan kegunaan perubatan pada 2018.

Dua tahun lalu, negara berkenaan mengeluarkan tumbuhan itu daripada senarai narkotik kebangsaan, membolehkan orang ramai menanam, menjual dan menggunakan ganja.

Kebenaran itu membawa kepada ledakan penggunaan secara rekreasi, dengan ribuan kafe dan dispensari ganja muncul di seluruh negara itu, terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Ia turut menjana industri yang dijangka bernilai sehingga AS$1.2 bilion (RM5.61 bilion) menjelang 2025.

Pengkritik pula mendakwa liberalisasi yang dilakukan dengan segera oleh pentadbiran kerajaan terdahulu tanpa penggubalan rang undang-undang (RUU) berkait ganja atau peraturan jelas dilaksanakan di Thailand.

Situasi itu sekali gus didakwa menyebabkan kekeliruan dan penyalahgunaan awam yang meluas.

Terdapat tradisi lama di Thailand yang didakwa menggunakan ganja untuk tujuan merawat kesakitan dan keletihan termasuk digunakan dalam perubatan tradisional serta dijadikan bahan dalam resipi.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam, Somsak Thapsutin, memberitahu kumpulan proganja itu supaya menggunakan ganja hanya untuk tujuan perubatan.

Ada penggiat perniagaan berasaskan ganja mendakwa masalah yang timbul sekarang bukan penggunaan ganja secara rekreasi tapi peraturannya tidak jelas.

Aktivis merangka peruncit ganja, Chokwan Chopaka, berpandangan tidak ada lebih munasabah daripada pengenalan Akta Ganja yang komprehensif bagi menangani kebimbangan mengenai keselamatan seperti penggunaan dalam kalangan kanak-kanak serta kawalan pertumbuhan.

"Kami tidak menyokong ganja barat yang liar di Thailand, tetapi dasar memadai dasar yang menyokong petani, peruncit dan pengguna perubatan," katanya. - REUTERS

Berita Harian X