Khamis, 16 Mei 2024 | 3:52pm
Panglima tentera, Jeneral Min Aung Hlaing telah mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi ASEAN mengenai penyertaan junta dalam blok serantau Asia Tenggara. - Foto REUTERS
Panglima tentera, Jeneral Min Aung Hlaing telah mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi ASEAN mengenai penyertaan junta dalam blok serantau Asia Tenggara. - Foto REUTERS

Ketua tentera Myanmar adakan perbincangan dengan pegawai tertinggi ASEAN

YANGON: Ketua tentera Myanmar mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi ASEAN mengenai penyertaan negara ditadbir Junta itu dalam blok kesatuan negara Asia Tenggara, selepas pemimpin negara itu dipinggirkan sejak rampasan kuasa 2021, lapor media kerajaan hari ini.

ASEAN dianggotai 10 negara menerajui usaha diplomatik yang didakwa gagal membuah hasil dalam menyelesaikan konflik dicetuskan serangan tentera di Myanmar, termasuk menyebabkan seramai 2.7 juta orang hilang tempat tinggal, dedah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun Myanmar masih anggota ASEAN, namun jeneral dari negara itu dikecualikan daripada menghadiri mesyuarat peringkat atasan blok Kesatuan itu kerana keengganan mereka terbabit dalam pelan damai.

Memetik laporan Global New Light of Myanmar, ketua tentera, Min Aung Hlaing bertemu dengan Utusan Khas ASEAN, Alounkeo Kittikhoun dan Setiausaha Agung, Kao Kim Horn semalam di Naypyidaw.

Dalam pertemuan itu, mereka bertukar pandangan mengenai isu kerjasama Myanmar dalam ASEAN.

Mereka juga ada membincangkan mengenai peluang kerjasama, syarat penyertaan Myanmar dalam blok serantau itu dan rancangan Junta untuk mengadakan pilihan raya baharu, lapor akhbar itu.

Sejak rampasan kuasa di Myanmar, krisis itu memecahbelahkan ASEAN selain dicemuh oleh pengkritik sebagai sebuah kesatuan yang 'tiada taring'.

Indonesia, Malaysia dan Filipina antara negara Asia Tenggara yang menggesa tindakan lebih tegas terhadap Junta, manakala Thailand mengambil pendekatan sendiri dengan mengadakan rundingan dua hala dengan jeneral Myanmar.

Pada tahun lalu, pegawai dari Indonesia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Perpaduan Nasional bayangan yang didominasi Ahli Parlimen yang digulingkan dalam rampasan kuasa sebelum ini.

Junta juga pernah menggelarkan mereka sebagai organisasi pengganas.

Awal tahun ini, Junta menghantar birokrat kanan ke mesyuarat menteri luar ASEAN di Laos, kali pertama negara itu menghadiri mesyuarat peringkat tinggi blok itu dalam tempoh lebih dua tahun.

Lebih 5,000 orang terbunuh manakala lebih 26,000 ditangkap oleh tentera kerana 'kesalahan' perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa di Myanmar, dakwa kumpulan pemantau tempatan.

Situasi di Myanmar dilihat menjerumus negara Asia Tenggara dalam kancah kekacauan sehingga kini. - AFP

Berita Harian X