Khamis, 16 Mei 2024 | 9:24am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Pesawat Garuda lakukan pendaratan kecemasan selepas enjin terbakar

JAKARTA: Sebuah pesawat membawa 468 penumpang dan anak kapal dari Indonesia ke Arab Saudi melakukan pendaratan cemas semalam akibat kebakaran enjin, kata syarikat penerbangan Garuda, Indonesia.

Syarikat itu berkata, penerbangan Garuda-1105 ke Madinah menggunakan pesawat Boeing 747-400, kembali ke lapangan terbang asal di Makassar pada jam 5.15 petang waktu tempatan (0915 GMT) dengan semua penumpang selamat.

"Keputusan dibuat juruterbang bertugas sejurus selepas berlepas memandangkan masalah enjin memerlukan pemeriksaan lanjut selepas percikan api dikesan pada salah satu enjin," kata Presiden Pengarah Garuda, Irfan Setiaputra, dalam satu kenyataan.

"Terdapat 450 penumpang dan 18 anak kapal dalam penerbangan ke Arab Saudi itu, termasuk jemaah haji.

"Mereka semua dipindahkan ke tempat penginapan sebelum menaiki penerbangan gantian semalam ke Arab Saudi manakala pesawat bermasalah yang didaratkan kini menjalani siasatan keselamatan," katanya.

Rakaman disiarkan di media sosial, yang belum disahkan oleh AFP, dikatakan menunjukkan enjin pesawat itu terbakar ketika ia berlepas.

Syarikat penerbangan itu, yang 60 peratus dimiliki kerajaan Indonesia, mengalami kerugian besar semasa pandemik COVID-19, susulan sekatan perjalanan menyebabkan sebahagian besar pesawatnya tidak dapat beroperasi dan ratusan pekerja terpaksa diberhentikan.

Negara di Kepulauan Asia Tenggara itu sangat bergantung pada pengangkutan udara untuk menghubungkan beribu-ribu pulaunya tetapi menghadapi rentetan kemalangan pesawat yang membawa maut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Rekod penerbangannya agak ,suram termasuk nahas pada 2021 di mana sebuah jet penumpang Sriwijaya Air Boeing secara misteri terjunam ke laut Jawa sejurus berlepas dari ibu kota Jakarta, mengorbankan kesemua 62 penumpang di dalamnya.

Pada Mac, Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata ia membuka siasatan terhadap syarikat penerbangan tempatan, Batik Air, selepas dua juruterbangnya didapati tertidur semasa penerbangan. - AFP

Berita Harian X