Rabu, 15 Mei 2024 | 10:37pm
Pertempuran menggegarkan Rakhine sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November - - Foto AGENSI
Pertempuran menggegarkan Rakhine sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November - - Foto AGENSI

Tentera Myanmar bedil klinik, 20 orang cedera

BANGKOK: Serangan udara oleh tentera Myanmar ke atas sebuah klinik perubatan mencederakan kira-kira 20 orang di negeri Rakhine barat.

Pertempuran itu menggegarkan Rakhine sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak rampasan kuasa junta tentera pada 2021.

Pejuang AA telah merampas wilayah, termasuk di sepanjang sempadan dengan India dan Bangladesh, memberi tekanan ke atas junta ketika ia bertempur dengan lawan di tempat lain di seluruh negara Asia Tenggara.

"Saya mendengar bunyi jet pejuang yang sangat kuat terbang malam tadi kemudian saya mendengar letupan sekitar tengah malam.

"Sebaik sahaja saya tahu ia adalah serangan udara, kami sekeluarga melarikan diri dari rumah kami dan bersembunyi di dalam hutan.

"Saya mendengar bahawa puluhan orang membabitkan pesakit luar, kakitangan perubatan dan penduduk kampung mengalami kecederaan," kata seorang penduduk di kampung Wea Gyi Htaunt, berhampiran bandar Kyauktaw.

Sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk pesakit luar, penjaga dan kakitangan cedera dalam serangan yang berlaku sejurus selepas tengah malam, kata AA dalam akaun Telegramnya.

Lima daripada mereka cedera parah dan klinik itu hampir musnah, katanya.

Penduduk itu berkata, AA sebelum ini mengambil alih pengendalian klinik itu, yang terletak berhampiran Wea Gyi Htaunt.

Tentera membedil kawasan itu berulang kali dalam beberapa hari kebelakangan ini, katanya.

AA adalah salah satu daripada beberapa kumpulan etnik minoriti bersenjata di wilayah sempadan Myanmar, yang kebanyakannya memerangi tentera sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948 kerana autonomi dan kawalan sumber yang menguntungkan.

Kumpulan bersenjata itu mendakwa pihaknya memperjuangkan lebih banyak autonomi untuk penduduk etnik Rakhine di negeri itu.

Pertempuran berkenaan merebak ke 15 daripada 17 perbandaran negeri Rakhine sejak 1 November, kata ketua hak asasi manusia PBB bulan lalu.

Ratusan orang terbunuh atau cedera dan lebih 300,000 kehilangan tempat tinggal, katanya. - AFP

Berita Harian X