Rabu, 15 Mei 2024 | 9:04pm
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin. - Foto REUTERS

PM Thai arah lakukan siasatan terhadap aktivis mati dalam tahanan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin hari ini mengarahkan siasatan ke atas kematian seorang aktivis politik muda yang meninggal dunia selepas dia melakukan mogok lapar ketika dalam tahanan praperbicaraan atas tuduhan termasuk menghina monarki negara.

Ratusan orang termasuk aktivis dan penggubal undang-undang pembangkang, menyertai upacara menyalakan lilin semalam untuk Netiporn "Bung" Sanesangkhom, 28, yang meninggal dunia di hospital penjara akibat kegagalan jantung.

Kematiannya turut diratapi oleh diplomat Barat dan kumpulan hak asasi manusia di media sosial.

"Sangat menyedihkan mengenai kehilangan (nyawa)... dan saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga," kata Srettha kepada pemberita.

"Saya sudah mengarahkan kementerian kehakiman untuk menyiasat butiran mengenai kematiannya," katanya.

Netiporn dipenjarakan pada Januari lalu kerana menghina mahkamah dan penahanannya dilanjutkan selepas jaminannya dibatalkan dalam kes penghinaan diraja, kata kumpulan bantuan guaman Thai Lawyers for Human Rights.

Dia melakukan mogok lapar selama sebulan sebelum kesihatannya merosot.

Netiporn mula mengambil sedikit makanan lembut pada awal April tetapi enggan mengambil vitamin dan air walaupun dia tidak berada dalam keadaan kritikal sebelum kematiannya, kata Jabatan Pembetulan dalam sidang akhbar hari ini sambil menambah bahawa mereka sedang menunggu bedah siasat rasmi untuk menentukan punca kematian.

"Dia dalam keadaan normal sehinggalah kejadian kecemasan itu," kata Pongpak Areeyapinan, pengarah hospital penjara.

Netiporn ialah aktivis pertama yang mati dalam tahanan sejak tercetusnya protes yang diketuai oleh belia pada 2020 yang menggesa reformasi monarki.

Dia adalah antara 272 orang yang telah didakwa berkaitan penghinaan diraja sejak 2020 menurut Thai Lawyers for Human Rights.

Undang-undang lese majeste Thailand, salah satu yang paling ketat di dunia, melindungi istana daripada kritikan dan membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pelanggaran.

Sejak Januari, permintaan ikat jamin untuk 27 aktivis politik dalam tahanan praperbicaraan, termasuk 17 yang didakwa dengan lese majeste, telah ditolak oleh mahkamah, kata kumpulan bantuan guaman itu. - REUTERS

Berita Harian X