Rabu, 15 Mei 2024 | 6:03pm
Pasukan penyelamat dan orang ramai memindahkan balak yang telah dihanyutkan ke kawasan perumahan di barat Indonesia. - Foto AGENSI
Pasukan penyelamat dan orang ramai memindahkan balak yang telah dihanyutkan ke kawasan perumahan di barat Indonesia. - Foto AGENSI

Banjir Indonesia mengorbankan 67 orang, puluhan masih hilang

TANAH DATAR: Anggota penyelamat Indonesia bertungkus lumus menyelamatkan puluhan orang yang masih tidak dapat dikesan selepas banjir kilat yang menyebabkan lebih 67 mangsa korban.

Hujan lebat selama berjam-jam itu menyebabkan lumpur dan batu mengalir ke daerah berhampiran salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia sehingga memusnahkan puluhan rumah, jalan raya dan masjid.

"Sebahagian daripada yang hilang sudah ditemui. Menurut pengenalan polis, 67 orang maut," kata ketua agensi bencana negara Suharyanto hari ini dalam sidang akhbar.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 20 orang masih hilang dengan penyelamat berkata, terdapat banyak mayat yang ditemui di dalam atau di sekitar sungai selepas dihanyutkan oleh banjir bahan gunung berapi, lumpur dan hujan.

Campuran abu, pasir dan kerikil yang dibawa menuruni lereng gunung berapi oleh hujan dikenali di Indonesia sebagai lahar, atau lava sejuk.

Jentera berat dikerahkan untuk membersihkan serpihan dari kawasan yang paling teruk dilanda banjir dan aliran lava sejuk kerana ia menjejaskan laluan pengangkutan di enam daerah, kata Suharyanto.

Lebih 3,300 orang terpaksa berpindah dari kawasan terjejas.

Bagi membantu usaha menyelamat, pihak berkuasa hari ini menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca, istilah yang digunakan pegawai Indonesia untuk pembenihan awan.

Dalam kes ini, ia digunakan dalam usaha untuk membuat awan hujan lebih awal supaya keamatan hujan menjadi lemah apabila ia sampai ke kawasan yang dilanda bencana.

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh dan banjir semasa musim hujan.

Pada 2022, kira-kira 24,000 orang l dipindahkan dan dua kanak-kanak terbunuh dalam banjir di pulau Sumatera, dengan kempen alam sekitar menyalahkan penebangan hutan yang berpunca daripada pembalakan yang memburukkan lagi keadaan. - AFP

Berita Harian X