Rabu, 15 Mei 2024 | 10:16am
Kanak-kanak menyejukkan badan menggunakan pancuran mandian mudah alih yang disediakan kerajaan tempatan ketika cuaca panas melampau di Valenzuela, Metro Manila, Filipina. - Foto REUTERS
Kanak-kanak menyejukkan badan menggunakan pancuran mandian mudah alih yang disediakan kerajaan tempatan ketika cuaca panas melampau di Valenzuela, Metro Manila, Filipina. - Foto REUTERS

Cuaca panas melampau di Asia berpunca akibat perubahan iklim

SINGAPURA: Suhu melampau di seluruh Asia bulan lalu menjadi lebih teruk berbanding biasa, berkemungkinan besar akibat perubahan iklim didorong perbuatan manusia, kata sepasukan saintis antarabangsa hari ini.

Berbilion penduduk seluruh benua Asia terjejas oleh suhu yang memecah rekod sepanjang April, dengan sekolah terpaksa ditutup, tanaman rosak dan ratusan orang terbunuh akibat penyakit berkaitan haba, kata pakar iklim Kumpulan Kesan Cuaca Sedunia dalam satu laporan.

Myanmar, Laos dan Vietnam mengalami hari paling panas dalam rekod pada April, manakala suhu di India mencecah setinggi 46 darjah Celsius, menurut laporan mereka.

"Dari Gaza ke Delhi ke Manila, orang menderita dan mati apabila suhu April meningkat di Asia," kata Friederike Otto, Pensyarah Kanan Sains Iklim di Institut Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Grantham, salah seorang pengarang laporan itu.

Sebuah kenderaan Perbadanan Bandar Raya Dhaka Utara (DNCC) menyembur air di sepanjang jalan yang sibuk untuk menurunkan suhu di tengah-tengah gelombang panas di Dhaka, Bangladesh. - Foto AFP
Sebuah kenderaan Perbadanan Bandar Raya Dhaka Utara (DNCC) menyembur air di sepanjang jalan yang sibuk untuk menurunkan suhu di tengah-tengah gelombang panas di Dhaka, Bangladesh. - Foto AFP

Katanya, gelombang haba sentiasa berlaku tetapi haba tambahan, didorong oleh pelepasan industri minyak, gas dan arang batu, mengakibatkan kematian bagi ramai orang.

Di Filipina, salah satu negara yang paling teruk dilanda bahang panas, pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan, menutup sekolah dan catuan bekalan elektrik kerana suhu yang meningkat mengancam grid kuasa negara itu.

Gelombang haba selama 15 hari, yang bermula pada pertengahan bulan, 'hampir mustahil diharungi' berikutan fenomena cuaca El Nino, tanpa diburukkan lagi oleh kesan pemanasan global akibat perbuatan manusia, kata laporan itu.

Sebahagian wilayah di Asia Barat menyaksikan suhu yang memecahkan rekod sepanjang 24 hingga 26 April, dengan Tel Aviv mencecah 40.7 darjah Celsius.

Suhu melampau di Asia Barat kali ini lima kali ganda lebih berkemungkinan berpunca akibat perubahan iklim, unjur laporan itu.

Rakaman dron menunjukkan sawah yang kontang dengan tanah kering dan retak akibat cuaca panas melampau di Candaba, Pampanga, Filipina. - Foto REUTERS
Rakaman dron menunjukkan sawah yang kontang dengan tanah kering dan retak akibat cuaca panas melampau di Candaba, Pampanga, Filipina. - Foto REUTERS

"Panas yang kami lihat benar-benar menambah krisis yang sudah teruk pada masa ini di Gaza," kata Carolina Pereira Marghidan dari Pusat Iklim Bulan Sabit Merah pada satu taklimat semalam.

Suhu di sekitar Kolkata India pada akhir April mencecah 46 darjah Celsius, 10 darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu purata bermusim.

Sehubungan itu, perubahan iklim menjadikan kemungkinan peningkatan suhu melampau di seluruh Asia Selatan meningkat sehingga 45 kali ganda, tambah laporan itu.

Kerajaan di Asia perlu mengambil tindakan untuk menyesuaikan diri dengan suhu yang meningkat dan mengurangkan risiko kesihatan, terutama di bahagian di mana penduduknya terdedah kepada ancaman cuaca, kata Marghidan.

"Memandangkan kadar haba melampau meningkat... kami melihat keperluan besar untuk pelan tindakan haba dipertingkatkan dan rancangan semasa untuk ditambah baik di seluruh Asia," katanya. - REUTERS

Berita Harian X