Isnin, 13 Mei 2024 | 5:07pm
Terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina, beting itu adalah lokasi persinggahan kapal yang menyempurnakan misi menghantar bekalan kepada tentera Filipina yang ditempatkan di atas kapal perang di Second Thomas Shoal. - Foto AGENSI
Terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina, beting itu adalah lokasi persinggahan kapal yang menyempurnakan misi menghantar bekalan kepada tentera Filipina yang ditempatkan di atas kapal perang di Second Thomas Shoal. - Foto AGENSI

Pengawal Pantai Filipina halang aktiviti penambakan China di kawasan dipertikai

MANILA: Pengawal Pantai Filipina (PCG) komited untuk mengekalkan kehadiran di kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan bagi memastikan China tidak menjalankan aktiviti penambakan di Sabina Shoal, menurut jurucakapnya hari ini.

Pengawal pantai berkata, sudah mengerahkan sebuah kapal ke Sabina Shoal pada Sabtu, lokasi di mana China didakwa cuba membina pulau buatannya, sambil menambah dua kapal lain sedang ditempatkan secara bergilir-gilir di kawasan itu.

Sejak penempatan kapal pada pertengahan April, pengawal pantai berkata, mereka menemui timbunan batu karang yang dibuang di beting pasir Sabina Shoal, sehingga mengubah saiz dan ketinggiannya.

Jurucakap PCG, Jay Tarriela memberitahu pada sidang media, pihaknya perlu memastikan mereka dapat menghalang China daripada meneruskan aktiviti penambakan di Sabina Shoal.

Beliau berkata, pengawal pantai komited mengekalkan kehadiran ke beting itu, yang disebut Manila sebagai Escoda.

Terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina, beting itu adalah lokasi persinggahan kapal yang menyempurnakan misi menghantar bekalan kepada tentera Filipina yang ditempatkan di atas kapal perang di Second Thomas Shoal.

China sudah melakukan tebus guna tanah secara meluas di beberapa pulau di Laut China Selatan, membina tentera udara dan kemudahan ketenteraan lain, meningkatkan kebimbangan di Washington dan sekitar rantau ini.

Tarriela percaya, pihaknya berupaya menghalang China daripada melakukan penambakan berskala kecil.

Katanya, tiada sebarang aktiviti dikesan oleh kapal China yang hadir ke Sabina Shoal sejak mereka menempatkan kapalnya di sana pada pertengahan April.

"China tidak mahu ditahan," kata Tarriela.

Tiada komen segera daripada Kedutaan China di Manila mengenai kenyataan Tarriela itu.

"China mempunyai kedaulatan yang tidak dapat dipertikaikan ke atas Kepulauan Laut China Selatan dan perairan sempadannya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

China menuntut hampir semua laluan perairan penting, termasuk bahagian yang turut dituntut Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.

Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 memutuskan tuntutan Beijing tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa, namun keputusan itu ditolak China. - REUTERS

Berita Harian X