Isnin, 13 Mei 2024 | 11:06am
Hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di Agam, Sumatera Barat. - Foto REUTERS
Hujan lebat menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di Agam, Sumatera Barat. - Foto REUTERS

Angka korban banjir Indonesia meningkat kepada 41

JAKARTA: Angka korban akibat banjir kilat dan aliran lava sejuk dari gunung berapi di barat Indonesia meningkat kepada 41 dengan 17 lagi hilang, kata seorang pegawai agensi bencana tempatan kepada AFP hari ini.

"Data setakat malam tadi, kami merekodkan 37 mangsa yang maut... Tetapi mulai pagi ini ia meningkat semula, angka itu mencecah 41 (mati)," menurut pegawai agensi mitigasi bencana Sumatera Barat, Ilham Wahab.

Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan banjir di dua daerah di pulau Sumatera, mengancam ribuan penduduk selepas hujan lebat membawa sebatian abu dan batu besar menuruni Gunung Marapi, gunung berapi paling aktif di pulau Sumatera.

Tiga individu dilaporkan hilang di daerah Agam dan 14 di Tanah Datar, kedua-duanya kawasan paling teruk dilanda banjir.

Beliau tidak dapat mengesahkan jumlah penduduk yang dipindahkan kerana orang ramai digalakkan berpindah ke tempat lebih selamat.

Lahar sejuk, juga dikenali sebagai lahar campuran debu, abu, pasir dan batu kerikil yang dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan.

Jalan raya di daerah itu bertukar menjadi sungai berlumpur dengan masjid dan rumah rosak selepas hujan membanjiri kawasan dan menghanyutkan kenderaan ke sungai berhampiran.

Indonesia terdedah kepada tanah runtuh dan banjir ketika musim hujan.

Pada 2022, kira-kira 24,000 orang dipindahkan dan dua kanak-kanak terbunuh dalam banjir di pulau Sumatera.

Berita Harian X