Ahad, 12 Mei 2024 | 2:24pm
Gambar diambil menggunakan dron menunjukkan banjir dan aliran lava sejuk melanda sebuah kawasan kampung di Simpang Manunggal, Kecamatan Lima Kaum, Tanah Datar. - Foto AGENSI
Gambar diambil menggunakan dron menunjukkan banjir dan aliran lava sejuk melanda sebuah kawasan kampung di Simpang Manunggal, Kecamatan Lima Kaum, Tanah Datar. - Foto AGENSI

12 maut akibat banjir kilat, aliran lava sejuk

PADANG: Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban, termasuk beberapa kanak-kanak, manakala empat lagi hilang akibat banjir kilat dan aliran lava sejuk dari gunung berapi.

Bencana itu melanda daerah Agam dan Tanah Datar di wilayah Sumatera Barat, kira-kira jam 10.30 malam waktu tempatan selepas hujan lebat beberapa jam, mencetuskan banjir kilat dan aliran lava sejuk dari Gunung Marapi, menurut agensi mencari dan menyelamat Basarnas.

Lahar sejuk adalah bahan gunung berapi seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan.

Ketua agensi penyelamat tempatan, Abdul Malik dalam satu kenyataan, berkata seramai 12 orang maut dan mayat mereka sudah dibawa ke hospital, manakala empat yang lain masih dicari di daerah Agam.

"Sekurang-kurangnya sembilan mayat dikenal pasti, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan lapan tahun.

"Hari ini (semalam), kami akan meneruskan pencarian di dua daerah itu," katanya.

Pihak berkuasa menghantar pasukan penyelamat dan bot untuk mencari mangsa yang hilang dan membawa orang ramai ke tempat perlindungan.

Kerajaan tempatan menubuhkan pusat pemindahan dan pos kecemasan di beberapa tempat di dua daerah itu.

Indonesia terdedah kepada kejadian tanah runtuh dan banjir ketika musim hujan.

Pada bulan Mac, sekurang-kurangnya 26 orang ditemui mati akibat tanah runtuh dan banjir melanda Sumatera Barat.

Banjir pada Sabtu di Agam dan Tanah Datar turut membawa lahar sejuk dari Gunung Marapi, gunung berapi paling aktif di Sumatera dan salah satu daripada hampir 130 gunung berapi aktif di kepulauan Indonesia.

Pada bulan Disember, Marapi meletus dan memuntahkan abu setinggi 3,000 meter (m) ke langit, lebih tinggi daripada gunung berapi itu sendiri.

Sekurang-kurangnya 24 pendaki, kebanyakannya pelajar universiti, maut dalam letusan berkenaan. - AFP

Berita Harian X