Jumaat, 10 Mei 2024 | 7:57am
Anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep. - Foto AGENSI
Anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep. - Foto AGENSI

Anak bongsu Jokowi calon Datuk Bandar Bekasi?

JAKARTA: Anak bongsu Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep, yang juga pengerusi Parti Solidariti Indonesia (PSI), kini dicadangkan sebagai salah seorang calon dalam pemilihan Datuk Bandar Bekasi di Jawa Barat.

Keputusan itu dibuat selepas beliau dipertimbangkan sebagai calon, sama ada dalam pemilihan Gabenor Jakarta atau Datuk Bandar Surakarta.

Pencalonan itu disahkan penyokong presiden dan naib presiden, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak sulung Jokowi.

Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Sukarelawan Kebangsaan Pro Prabowo-Gibran (Pa-Gi) berkata, ia telah mengumpulkan borang pendaftaran calon Datuk Bandar yang berpotensi di Bekasi, di pejabat Parti Kebangkitan Negara (PKB) pada 6 Mei, bagi pihak Kaesang.

Pengerusi Pro Pa-Gi, Ricard Efendi Siregar, berkata tindakan itu diambil 'untuk memenuhi kehendak dan permintaan penduduk Bekasi' yang mahu Kaesang menjadi ketua mereka, lapor The Jakarta Post.

"Kami telah menjalankan tinjauan dan menyebarkan (maklumat), dan ternyata penduduk Bekasi memerlukan perubahan positif pada masa hadapan," kata Ricard pada 6 Mei, seperti dilaporkan oleh tribunnews.com.

Mereka juga dilaporkan telah memaklumkan PSI mengenai perkara itu.

Sebelum ini pada Januari, Kaesang melawat Bekasi sebagai pengerusi PSI dan mengagihkan bungkusan sembako (makanan keperluan asas) kepada orang ramai.

Terpulang kepada Kaesang untuk menyerahkan kertas kerja sebagai pengesahan pencalonannya.

Bekas ahli perniagaan, Kaesang, yang pertama kali terjun ke dunia politik pada September 2023, untuk menjadi pengerusi PSI, sedang dipertimbangkan sebagai calon dalam pelbagai pilihan raya wilayah.

Beliau sebelum ini dicadangkan sebagai calon Datuk Bandar Surakarta di Jawa Tengah bagi menggantikan abangnya, Gibran, yang memenangi pilihan Raya Presiden pada 14 Februari bersama presiden yang dipilih, Prabowo.

Baru-baru ini, Kaesang juga dipilih oleh PSI untuk dicalonkan sebagai Gabenor Jakarta kerana beliau yang berusia 29 tahun itu, dipercayai 'tokoh terbaik' untuk jawatan tertinggi itu, kata wakil parti itu pada Mac. - AGENSI

Berita Harian X