Khamis, 9 Mei 2024 | 9:28pm
Pemandangan Kepulauan Similan, terletak di luar pantai selatan Thailand. - Foto AGENSI
Pemandangan Kepulauan Similan, terletak di luar pantai selatan Thailand. - Foto AGENSI

Pulau di Thailand ditutup akibat kesan pelunturan karang

BANGKOK: Sebuah pulau di selatan Thailand terpaksa ditutup selepas penemuan kesan pelunturan karang yang meluas, kata Pejabat Taman Negara.

Pelunturan itu berlaku apabila alga yang hidup di dalam karang keluar disebabkan oleh suhu laut yang lebih tinggi daripada biasa dan peningkatan sinaran ultra ungu.

Batu karang boleh pulih daripada pelunturan dari semasa ke semasa, sebaik sahaja suhu turun dan keadaan di lautan kembali normal.

Penutupan itu dilakukan selepas gelombang panas yang membawa maut menyebabkan suhu meningkat di seluruh Thailand dan Asia dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Jabatan Pemuliharaan Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP) berkata, Pulau Pling dan terumbu karang di sekitar Taman Negara Sirinart di Phuket akan ditutup buat sementara waktu susulan pelunturan karang yang meluas disebabkan oleh peningkatan suhu air laut.

Jabatan itu turut memantau taman negara di Koh Chang, Koh Samet, Chumphon, Koh Surin, Teluk Phang Nga, kepulauan Phi Phi dan Lanta.

Berita itu dikeluarkan selepas Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bulan lalu bahawa dunia kini sedang mengalami peristiwa pelunturan karang utama kedua dalam tempoh 10 tahun.

Sistem terumbu dari Australia ke Florida sedang kritikal susulan beberapa bulan suhu panas di lautan berlaku.

Penutupan taman berlaku secara berkala di Thailand, yang dikunjungi oleh 28 juta pelancong pada 2023, kebanyakan mereka datang untuk beriadah di kawasan pantai negara itu.

Pada 2018 Maya Bay terkenal dengan filem Hollywood 'The Beach', ditutup selama lebih empat bulan untuk membolehkan terumbu karang dan hidupan lautnya pulih.

Saintis telah lama memberi amaran perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia akan menghasilkan gelombang haba yang lebih kerap, lebih lama dan lebih kuat.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun fenomena El Nino membantu memacu cuaca panas luar biasa tahun ini, Asia turut mengalami pemanasan lebih cepat daripada purata global. - AFP

Berita Harian X