Rabu, 8 Mei 2024 | 8:23pm
Letusan Gunung Ibu telah mendorong pegawai untuk meningkatkan tahap berjaga-jaga ke tahap kedua tertinggi dan memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhkan diri. - Foto AFP
Letusan Gunung Ibu telah mendorong pegawai untuk meningkatkan tahap berjaga-jaga ke tahap kedua tertinggi dan memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhkan diri. - Foto AFP

Gunung berapi di timur Indonesia meletus, tahap amaran dinaikkan

JAKARTA: Gunung berapi di timur Indonesia meletus hari ini dan mengeluarkan abu hampir setinggi 1.5 kilometer (km) ke langit, mendorong pegawai menaikkan tahap berjaga-jaga ke tahap kedua tertinggi dan memberi amaran kepada orang ramai untuk menjauhkan diri.

Gunung Ibu, yang terletak di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara, meletus pada 11:11 pagi (waktu tempatan) dan menghasilkan asap dan abu tebal di atas puncak.

Gunung berapi itu memuntahkan abu setinggi 1.5km di atas puncak, kata agensi volkanologi Indonesia (PVMBG).

"Berdasarkan hasil pemantauan visual dan instrumental, tahap aktiviti Gunung Ibu telah dinaikkan daripada tahap dua kepada tahap tiga sistem empat peringkat," kata ketua PVMBG, Hendra Gunawan dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak berkuasa membentuk zon larangan antara tiga dan lima kilometer di sekitar kawah gunung berapi itu.

Hendra turut menggesa penduduk berhampiran memakai topeng muka dan cermin mata ketika melakukan aktiviti luar dan bersiap sedia menghadapi abu gunung berapi yang jatuh.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.

Bulan lalu, Gunung Ruang di Provinsi Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa beribu-ribu penduduk pulau berdekatan berpindah.

Ia meletus lagi minggu lalu dan kekal pada tahap amaran tertinggi bagi sistem empat peringkat.

Kesemua 800 lebih penduduk pulau Ruang telah dipindahkan secara kekal.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di bandar Manado, terletak lebih 100 kilometer dari kawah, ditutup selama beberapa hari kerana abu gunung berapi. - AFP

Berita Harian X