Selasa, 7 Mei 2024 | 12:41pm
Bendera Indonesia. - Foto AGENSI
Bendera Indonesia. - Foto AGENSI

Produk PKS Indonesia wajib ada sijil halal mulai Oktober

JAKARTA: Kementerian Perdagangan Indonesia akan mewajibkan pensijilan halal ke atas produk keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) mulai Oktober ini.

"Mulai Oktober, saya akan mewajibkan sijil halal. Kalau diam saja, tak jadi," kata Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan, di Tangerang, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan dasar itu bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna dan pengeluar terutama dari segi daya saing produk di pasaran global.

Walau bagaimanapun, pemilik perniagaan perlu memenuhi piawaian ditetapkan termasuk keperluan pensijilan, Standard Nasional Indonesia (SNI), permit pengedaran serta berat dan kualiti kesihatan produk.

Portal berita ANTARA melaporkan kerajaan juga akan memantau produk untuk melindungi pengguna terutama domestik.

"Kita tidak mahu pengguna rugi, bermula dari sijil, jaminan, SNI, permit edaran, timbangan, kita lindungi, kemudian makanan sihat, mestilah bersih," katanya.

Terdahulu, Kementerian Hal Ehwal Agama memaklumkan antara objektif program Wajib Halal Oktober adalah meningkatkan nilai tambah kepada penggiat perniagaan di negara ini.

"Ada pandangan bahawa jika kita beragama Islam maka semua produk terutama makanan dan minuman pasti halal, dan inilah yang perlu kita perbetulkan," kata pakar di Pusat Kerjasama dan Standardisasi Badan Pensijilan Halal (BPJPH), AM Rozak.

Pensijilan halal bukan hanya untuk memastikan sesuatu produk yang dijual terjamin halal, malah pensijilan itu juga bertujuan meningkatkan nilai tambah dalam perniagaan.

Berhubung penyeliaan produk perniagaan yang telah disahkan halal, BPJPH berkata ini akan dimaksimumkan selepas pelaksanaan program Wajib Halal pada Oktober ini.

"Terdapat tiga peringkat untuk penyeliaan produk, salah satunya ialah sekatan terhadap pelaku perniagaan dan larangan penjualan produk," kata Rozak.

Pada masa ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama khususnya BPJPH sedang membangunkan peraturan penyeliaan yang paling sesuai untuk penggiat perniagaan di negara ini.

BPJPH memberi jaminan pihaknya juga akan lebih berhati-hati dalam mengenakan sekatan terhadap pemilik perniagaan yang perolehan bulanannya di bawah Rp500 juta.

Berita Harian X