Isnin, 6 Mei 2024 | 11:14pm
Seekor orang utan sumatera jantan, Rakus, dengan luka muka di bawah mata kanan (kanan) dan dua bulan kemudian selepas rawatan sendiri menggunakan tumbuhan, luka di bawah mata kanan hampir tidak kelihatan lagi (kiri). - Foto REUTERS
Seekor orang utan sumatera jantan, Rakus, dengan luka muka di bawah mata kanan (kanan) dan dua bulan kemudian selepas rawatan sendiri menggunakan tumbuhan, luka di bawah mata kanan hampir tidak kelihatan lagi (kiri). - Foto REUTERS

Orang utan liar guna tumbuhan herba rawat luka sendiri

MEDAN: Saintis mendapati seekor orang utan berjaya mempelajari kaedah merawat lukanya sendiri menggunakan tumbuhan tropika sebagai ubat.

Saintis memberi contoh terbaru bagaimana sesetengah haiwan cuba meredakan atau menyembuhkan penyakit mereka sendiri dengan penawar yang ditemui di alam semula jadi.

Saintis memerhati bagaimana seekor orang utan jantan yang diberi nama Rakus memetik dan mengunyah daun tumbuhan herba yang digunakan oleh orang ramai di seluruh Asia Tenggara untuk merawat kesakitan dan keradangan.

Orang utan jantan dewasa itu kemudian menggunakan jarinya untuk menyapu ekstrak tumbuhan itu pada kecederaan di pipi kanan.

Menurut kajian baru dalam laporan 'Scientist', haiwan itu kemudiannya menekan tumbuhan yang sudah dikunyah itu untuk menutup luka terbuka, seperti pembalut sementara.

Penyelidikan sebelum ini mendokumentasikan beberapa spesies beruk besar mencari ubat di hutan untuk menyembuhkan diri mereka sendiri, tetapi saintis masih belum melihat sendiri bagaimana haiwan merawat dirinya dengan cara sedemikian.

"Ini adalah kali pertama kami memerhatikan haiwan liar menggunakan tumbuhan ubatan secara langsung pada luka," kata pengarang bersama Isabelle Laumer, ahli biologi di Institut Kelakuan Haiwan Max Planck di Konstanz, Jerman.

Tingkah laku menarik orang utan itu dirakam pada 2022 oleh Ulil Azhari, pengarang bersama dan penyelidik lapangan di Projek Suaq di Medan, Indonesia.

Gambar menunjukkan luka haiwan itu sembuh dalam masa sebulan tanpa sebarang masalah.

Saintis telah memerhati orang utan di Taman Negara Gunung Leuser, Indonesia sejak 1994, tetapi mereka tidak pernah melihat kelakuan seumpamanya sebelum ini.

Ahli biologi Universiti Emory, Jacobus de Roode, yang tidak terlibat dalam kajian itu, berkata ia adalah satu pemerhatian baharu.

"Selalunya, kita belajar mengenai tingkah laku baru bermula dengan satu pemerhatian.

"Kemungkinan besar ia adalah cara mengubat diri sendiri," kata de Roode, sambil menambah orang utan itu menggunakan tumbuhan hanya pada luka dan tidak pada bahagian badan lain.

Pengarang bersama, Caroline Schuppli, di Max Planck berkata ada kemungkinan Rakus mempelajari teknik itu daripada orang utan lain yang tinggal di luar taman dan jauh daripada penelitian harian saintis.

Rakus dilahirkan dan hidup sebagai juvana di luar kawasan kajian.

Penyelidik percaya orang utan itu cedera dalam pergaduhan dengan haiwan lain, namun tidak diketahui sama ada Rakus pernah merawat kecederaan lain sebelum ini.

Saintis sebelum ini merekodkan primat lain menggunakan tumbuhan untuk merawat diri mereka sendiri.

Orang Utan Borneo menggosok diri mereka dengan ekstrak daripada tumbuhan herba, mungkin untuk mengurangkan sakit badan atau membuang parasit. - AGENSI

Berita Harian X