Ahad, 5 Mei 2024 | 3:01pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Indonesia wajibkan sijil halal pusat penyembelihan ayam

JAKARTA: Kementerian Perdagangan Indonesia mewajibkan pensijilan halal untuk semua pusat penyembelihan ayam bermula Oktober ini bagi memastikan kualiti dan pematuhan produk haiwan ternakan itu.

Menterinya, Zulkifli Hasan menekankan, kepentingan garis panduan baharu itu yang merangkumi pelbagai aspek penyembelihan dan pemprosesan dalam mematuhi piawaian halal.

Garis panduan itu sejajar dengan keputusan kerajaan untuk semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor masakan mendapatkan pensijilan halal menjelang Oktober.

Dalam satu kenyataan, Zulkifli berkata, keputusan itu bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna, khususnya dalam kalangan pengguna Islam dan daya saing produk Indonesia di peringkat global.

Katanya, kepentingan melaksanakan pensijilan halal adalah mandatori dengan menyatakan kesediaan mengenainya perlu diutamakan.

"Pensijilan halal adalah penting. Jika bukan sekarang, bila lagi? Kita tidak mampu untuk menunggu selama-lamanya," katanya.

Pada 1 April lalu, Menteri Koperasi dan PMKS, Teten Masduki melahirkan kebimbangan bahawa menepati tarikh akhir bagi pensijilan halal mungkin mencabar, terutama bagi PMKS dalam sektor masakan.

Badan Penganjur Jaminan Produk Halal (BPJPH) Kementerian Agama sedang mempercepat proses pensijilan halal melalui kempen 'Mandatori Halal menjelang Oktober 2024' sejak tahun lalu.

Kempen itu mendidik pemilik perniagaan, pihak berkepentingan dan orang ramai mengenai keperluan undang-undang untuk pensijilan bagi produk yang diedar di Indonesia, negara penduduk Islam terbesar di dunia.

Ia sejajar dengan pensijilan mandatori fasa pertama bermula Oktober ini meliputi tiga kumpulan produk, makanan dan minuman (F&B), bahan mentah dan bahan tambahan serta perkhidmatan dan produk penyembelihan.

Bulan lalu, BPJPH mengadakan program pendaftaran pensijilan halal segera di 5,040 lokasi.

Ia juga menjalankan program pemantauan bersepadu dalam sektor huluan di 1,068 lokasi, termasuk kemudahan F&B dan pusat penyembelihan di 34 wilayah. - BERNAMA

Berita Harian X