Ahad, 5 Mei 2024 | 12:10pm
Orang ramai menaiki kapal perang KRI Kakap-881 di pelabuhan Tagulandang, untuk dipindahkan ke Kabupaten Minahasa Utara di pulau Sulawesi, susulan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Sitaro, provinsi Sulawesi Utara, Indonesia pada 1 Mei 2024. - Foto REUTERS/ANTARA
Orang ramai menaiki kapal perang KRI Kakap-881 di pelabuhan Tagulandang, untuk dipindahkan ke Kabupaten Minahasa Utara di pulau Sulawesi, susulan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Sitaro, provinsi Sulawesi Utara, Indonesia pada 1 Mei 2024. - Foto REUTERS/ANTARA

Letusan Gunung Ruang: 5,255 penduduk dipindahkan dari Pulau Tagulandang

JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia mengesahkan seramai 5,255 penduduk Pulau Tagulandang yang terjejas akibat letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara baru-baru ini, sudah dipindahkan dari pulau itu.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari, berkata jumlah itu adalah berdasarkan semakan akhir setakat Sabtu ketika usaha pemindahan dilakukan pasukan keselamatan.

Angka itu menunjukkan peningkatan seramai 1,891 orang daripada jumlah mangsa yang dipindahkan sebelum ini ke tempat yang lebih selamat di Manado, Bitung, Minahasa Utara dan Pulau Siau.

Justeru, kira-kira 3,828 orang daripada sasaran 9,000 hingga 12,000 penduduk di Tagulandang kekal dipindahkan. Mereka dijangka dipindahkan hari ini.

Letusan gunung berapi Gunung Ruang dilihat dari Pulau Tagulandang di Sitaro, Sulawesi Utara. - Foto AFP
Letusan gunung berapi Gunung Ruang dilihat dari Pulau Tagulandang di Sitaro, Sulawesi Utara. - Foto AFP

Sasaran itu ditetapkan selepas mesyuarat antara BNPB, kerajaan Sulawesi Utara dan pasukan tindak balas kecemasan, baru-baru ini.

"Pasukan bersama masih berusaha untuk memindahkan penduduk yang tinggal, termasuk mengagihkan logistik dan peralatan yang diperlukan dalam tempoh tindak balas kecemasan ini," kata Abdul Muhari.

Terdahulu, Ketua BNPB, Suharyanto berkata, usaha pemindahan masih bergantung kepada bantuan kapal dan kenderaan darat yang disediakan Tentera Laut Indonesia, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Komando Wilayah XIII/Merdeka serta Polis Wilayah Sulawesi Utara.

Beliau juga mengesahkan sudah menambah jumlah kapal yang dikerahkan untuk membawa baki mangsa kepada 11 kapal.

Laluan lintasan yang dibawa ke pelabuhan pemindahan terdiri daripada Tagulandang-Manado, Tagulandang-Bitung, Tagulandang-Pahe Siau dan Tagulandang-Munte.

"Penduduk terpaksa dipindahkan untuk keselamatan kerana keadaan Gunung Ruang masih belum stabil sepenuhnya selepas letusan fasa kedua beberapa hari lalu," katanya.

Gunung Ruang mula meletus secara mendadak bulan lalu, dan pakar mengatakan letusan itu dicetuskan oleh peningkatan aktiviti seismik, termasuk gempa bumi laut dalam.

Rekod menunjukkan letusan Gunung Ruang dengan ketinggian 725 meter pada 1808 dan kejadian yang ketara berlaku pada 1871 yang mencetuskan gelombang tsunami yang mengorbankan 400 nyawa, katanya.

Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di lingkaran api Pasifik. - AGENSI

Berita Harian X