Jumaat, 3 Mei 2024 | 12:53pm
Orang ramai menaiki kapal perang KRI Kakap-881 di pelabuhan Tagulandang, untuk dipindahkan ke Kabupaten Minahasa Utara di pulau Sulawesi, susulan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Sitaro, provinsi Sulawesi Utara, Indonesia pada 1 Mei 2024. - Foto REUTERS/ANTARA
Orang ramai menaiki kapal perang KRI Kakap-881 di pelabuhan Tagulandang, untuk dipindahkan ke Kabupaten Minahasa Utara di pulau Sulawesi, susulan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Sitaro, provinsi Sulawesi Utara, Indonesia pada 1 Mei 2024. - Foto REUTERS/ANTARA

9,083 penduduk dipindahkan selepas Gunung Ruang meletus lagi

JAKARTA: Kerajaan Indonesia memindahkan 9,083 penduduk dari Pulau Tagulandang, dekat Gunung Ruang di Sulawesi Utara yang meletus ke tempat yang lebih selamat.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Lt Jen Suharyanto berkata 3,364 penduduk telah dipindahkan sementara 5,719 lagi sedang dipindahkan secara berperingkat.

"Pemindahan ini berlaku secara berperingkat dari 30 April ke 2 Mei dan dijangka selesai dalam tiga hari," kata Suharyanto dalam kenyataan hari ini.

Pulau Tagulandang terletak berhampiran Pulau Ruang di mana Gunung Ruang berdiri sendiri sebagai sebuah pulau terpisah dalam Daerah Sitaro.

Suharyanto berkata penduduk dipindahkan dengan kapal yang disediakan oleh agensi kerajaan dan swasta termasuk tentera, kastam dan agensi penyelamat.

Kira-kira lima penempatan sementara telah didirikan di pulau-pulau berhampiran seperti Manado dan Siau, katanya.

Usaha pemindahan penduduk Pulau Tagulandang berikutan nasihat daripada Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana (PVMBG) Indonesia sebagai tindak balas selepas mengenal pasti satu zon berisiko dalam radius tujuh kilometer kawah Gunung Ruang.

Ketua PVMBG Hendra Gunawan berkata strato-gunung berapi dari segi sejarahnya mengeluarkan awan panas dan melalui beberapa letusan yang memberi kesan langsung kepada manusia dan kehidupan.

Rekod menunjukkan letusan Gunung Ruang dengan ketinggian 725 meter pada 1808 dan kejadian yang ketara berlaku pada 1871 yang mencetuskan gelombang tsunami yang mengorbankan 400 nyawa, katanya.

Suharyanto berkata kerajaan juga berhasrat untuk memindahkan penduduk secara kekal terutamanya mereka yang menetap di Pulau Ruang.

Berita Harian X