Rabu, 1 Mei 2024 | 12:40pm
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

WhatsApp digodam selepas klik senarai pekerjaan di Facebook

SINGAPURA: Polis memberi amaran taktik penipuan baharu yang menyaksikan akaun WhatsApp digodam apabila mangsa klik senarai pekerjaan palsu di Facebook.

Menurut polis dalam kenyataan, penipuan itu berlaku apabila mangsa diarahkan untuk memuat turun fail Android Package Kit (APK) melalui WhatsApp untuk tujuan mendapatkan butiran peribadi mereka.

"Mangsa melihat senarai pekerjaan yang menarik di Facebook dan menghubungi nombor WhatsApp yang diberikan.

"Tanpa pengetahuan mangsa, fail APK itu mengandungi perisian Malware yang membolehkan penipu mengekstrak data daripada telefon bimbit mereka," katanya.

Portal berita CNA melaporkan, selepas mangsa memuat turun dan memasang perisian Malware, skrin telefon akan tertutup dan mereka kemudiannya kehilangan kawalan ke atas telefon mudah alih.

"Dalam beberapa kes, aplikasi WhatsApp mereka dipadamkan daripada telefon bimbit.

"Mangsa hanya menyedari akaun WhatsApp mereka digodam apabila kenalan memaklumkan menerima mesej kononnya mangsa mahu meminjam wang," katanya.

Berikutan itu polis menasihatkan orang ramai supaya mengguna pakai ciri pengesahan dua langkah untuk akaun WhatsApp masing-masing.

Selain itu katanya, orang ramai juga diminta berhati-hati dengan permintaan luar biasa walaupun ia dihantar oleh kenalan WhatsApp.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk hanya memuat turun aplikasi dari entiti rasmi seperti Google Play Store atau Apple App Store.

"Penting juga memastikan telefon mudah alih, komputer dan peranti lain dipasang dengan perisian anti-virus yang dikemas kini," katanya.

Menurut polis, sekiranya mangsa mengesyaki sudah menjadi mangsa penipuan mereka perlu menghidupkan mod penerbangan dan memeriksa sama ada Wi-Fi dimatikan.

Katanya, mangsa juga harus menjalankan imbasan anti-virus pada telefon dan menyemak sama ada terdapat transaksi yang tidak dibenarkan pada akaun banknya atau Singpass daripada peranti lain.

"Jika ada, mangsa perlu membuat laporan polis.

"Sebagai langkah berjaga-jaga selanjutnya, pengguna telefon bimbit juga boleh mempertimbangkan untuk melakukan tetapan semula telefon dan menukar kata laluan penting," katanya.

Berita Harian X