Isnin, 29 April 2024 | 4:50pm
Arnon Nampa ketika tiba menjelang keputusan mahkamah jenayah Thai dalam kes yang didakwa telah menghina monarki, di mahkamah jenayah di Bangkok, 26 September 2023. - Foto REUTERS
Arnon Nampa ketika tiba menjelang keputusan mahkamah jenayah Thai dalam kes yang didakwa telah menghina monarki, di mahkamah jenayah di Bangkok, 26 September 2023. - Foto REUTERS

Mahkamah Thailand tambah hukuman penjara bagi peguam aktivitis terkenal

BANGKOK: Mahkamah Thailand menjatuhkan tambahan hukuman penjara dua tahun terhadap peguam aktivis terkenal yang dipenjarakan kerana menghina institusi diraja.

Peguam Hak Asasi Manusia, Arnon Nampa, 39, dijatuhi tambahan hukuman penjara dua tahun 20 hari dan denda 100 baht (AS$2.70/RM12.87) kerana menghina diraja, melanggar perintah darurat dan membuat ucapan di perhimpunan politik pada 2021.

Peguamnya, Junjira Junpaew, berkata Arnon menafikan semua salah laku dan pihaknya akan merayu ke atas hukuman itu.

Arnon kini menjalani hukuman penjara lapan tahun atas dua sabitan penghinaan diraja, membabitkan ucapan pada perhimpunan politik pada 2020 dan satu lagi daripada siaran media sosial pada 2021.

Dia kini dipenjara sejak September tahun lalu.

Kedua-dua hukuman penjara itu diarahkan berjalan berasingan.

Undang-undang lese-majeste Thailand, melindungi monarki daripada kritikan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun bagi setiap penghinaan diraja.

Keputusan itu adalah yang ketiga daripada 14 kes terhadap Arnon, seorang peguam yang bertukar menjadi ketua protes gerakan demokrasi yang mengadakan protes di Bangkok pada 2020, menyeru reformasi monarki.

Sekurang-kurangnya 272 orang didakwa atas kesalahan lese-majeste sejak 2020, menurut Thai Lawyers for Human Rights. - REUTERS

Berita Harian X