Sabtu, 27 April 2024 | 7:44am
Media Thailand melaporkan suhu di ibu negara, Bangkok mencecah lebih 40 darjah Celcius pada Rabu dan Khamis lalu. - Foto AFP
Media Thailand melaporkan suhu di ibu negara, Bangkok mencecah lebih 40 darjah Celcius pada Rabu dan Khamis lalu. - Foto AFP

Strok haba: Kerajaan Thailand nasihat kumpulan berisiko tinggi tidak keluar rumah

BANGKOK: Kanak-kanak, pesakit dan golongan tua diingatkan supaya mengelak daripada terbabit dalam aktiviti di luar bangunan selepas strok haba meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand.

Doktor dan jurucakap untuk Jabatan Kawalan Penyakit daripada Kementerian Kesihatan Awam, Dr Veerawat Manosutthi dalam satu kenyataan, berkata sejumlah 30 laporan kematian daripada strok haba dari Mac hingga April tahun ini, berbanding 37 kematian dari Mac hingga Jun tahun lalu.

"Angka kematian tahun ini membabitkan kumpulan berisiko tinggi daripada golongan tua dan kanak-kanak yang lebih muda serta bayi ,"katanya.

Dr Veerawat menasihatkan, aktiviti seharusnya dihadkan dan elakkan aktiviti di luar bangunan dari jam 11 pagi hingga 3 petang jika seseorang mesti keluar rumah, penting untuk minum air dengan kerap sekurang-kurangnya dua gelas setiap jam.

"Elakkan daripada keadaan cuaca panas, pakai pakaian warna cerah yang membenarkan kitaran udara yang baik. Selain itu berwaspada terhadap gejala seperti pening kepala, sakit kepala, loya, bernafas dengan kerap, menggigil, merah di muka dan kurang berpeluh, kerana ini menunjukkan strok haba," katanya.

Beliau berkata, pertolongan cemas asas perlu diberikan, termasuk beralih ke tempat yang lebih sejuk, meletakkan air sejuk atau pek ais di dahi, leher dan ketiak dan longgarkan pakaian.

Media Thailand melaporkan suhu di ibu negara, Bangkok mencecah lebih 40 darjah Celcius pada Rabu dan Khamis lalu. - BERNAMA

Berita Harian X