Jumaat, 26 April 2024 | 3:40pm
Seorang wanita berjalan melepasi runtuhan bandar lama Pantabangan yang tenggelam susulan pembinaan empangan di wilayah Nueva Ecija, Filipina. - Foto AFP
Seorang wanita berjalan melepasi runtuhan bandar lama Pantabangan yang tenggelam susulan pembinaan empangan di wilayah Nueva Ecija, Filipina. - Foto AFP

Penempatan Filipina ditenggelami empangan muncul semula kerana kemarau

PANTABANGAN: Sebuah penempatan lama yang ditenggelami air ketika pembinaan empangan di utara Filipina pada 1970-an, muncul semula apabila paras air susut akibat kemarau yang melanda sebahagian besar negara itu.

Runtuhan penempatan di tengah-tengah Empangan Pantabangan di wilayah Nueva Ecija menjadi tarikan pelancong, walaupun kawasan itu dilanda cuaca panas melampau.

Sebahagian daripada gereja, dewan perbandaran dan batu nisan, timbul semula pada Mac lalu selepas air beransur kering.

Jurutera penyelia untuk Pentadbiran Pengairan Kebangsaan, Marlon Paladin berkata, ini adalah kali keenam penempatan berusia hampir 300 tahun itu muncul semula sejak empangan berkenaan dibina bagi menyediakan sumber pengairan untuk petani tempatan dan menjana kuasa elektrik hidro.

Pengunjung berjalan di bandar lama Pantabangan yang tenggelam susulan pembinaan empangan di wilayah Nueva Ecija, Filipina. - Foto AFP
Pengunjung berjalan di bandar lama Pantabangan yang tenggelam susulan pembinaan empangan di wilayah Nueva Ecija, Filipina. - Foto AFP

"Ini adalah masa paling lama (ia boleh dilihat) berdasarkan pengalaman saya," katanya yang menambah, paras air takungan itu jatuh hampir 50 meter daripada paras ketinggian biasa 221 meter.

Bulan Mac, April dan Mei lazimnya adalah tempoh paling panas dan kering di negara kepulauan itu, tetapi keadaan tahun ini ia diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino.

Kira-kira separuh daripada wilayah di negara itu, termasuk Nueva Ecija, secara rasmi mengalami kemarau.

Seorang wanita mengambil gambar berhampiran runtuhan sebuah gereja di bandar lama Pantabangan yang tenggelam susulan pembinaan empangan di wilayah Nueva Ecija, Filipina. - Foto AFP
Seorang wanita mengambil gambar berhampiran runtuhan sebuah gereja di bandar lama Pantabangan yang tenggelam susulan pembinaan empangan di wilayah Nueva Ecija, Filipina. - Foto AFP

Pelancong yang ingin melihat secara dekat runtuhan berkenaan perlu membayar sekitar 300 peso (RM23.80) kepada nelayan untuk menaiki bot ke pulau sementara di tengah-tengah empangan.

Nely Villena, yang tinggal di perbandaran Pantabangan, kerap melawat kawasan meninjau yang menghadap empangan itu untuk melihat runtuhan.

"Pemandangan lebih baik apabila paras air rendah. Jika air terlalu tinggi... yang saya boleh lihat hanyalah air," katanya. - AFP

Berita Harian X